Penunggang motosikal maut bertembung lori

0

SARIKEI: Seorang penunggang motosikal lelaki maut selepas motosikalnya bertembung dengan lori yang membawa muatan biji sawit berdekatan kawasan Sungai Paoh di sini, malam kelmarin.

Kemalangan berlaku sekitar jam 7.30 malam kira-kira 19 kilometer dari bandar ini.

Mangsa maut dikenali sebagai Mazrun Anas, 31, berasal dari Oya, Hulu Lanang Sibu.

Pemandu lori berusia 48 tahun itu mendakwa, mangsa dikatakan menunggang motosikal seorang diri dan masuk ke laluannya arah bertentangan dan tidak sempat membrek.

Mangsa dikatakan sedang menghala ke Saratok, manakala lori terbabit dalam perjalanan dari Kuching ke Miri.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal mangsa rosak teruk akibat impak pelanggaran tersebut.

Pemandu lori yang memandu seorang diri dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang sudah berumah tangga dikatakan mempunyai seorang anak yang berusia lebih kurang enam bulan.

Lokasi kemalangan itu merupakan kawasan kerap kemalangan.