Perlis sedia sambut kehadiran 9,500 atlet

0

CENDERAHATI: Azlan (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Adenan sempena kunjungan bagi mengundang secara rasmi kontinjen Sarawak ke SUKMA XVII Perlis 2014 di Kuching semalam. — Gambar Oleh Muhd Rais Sanusi

Penganjur SUKMA XVII yakin temasya kebangsaan itu akan berlangsung dengan lancar

KUCHING: Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 iaitu Perlis sudah bersedia untuk menerima kunjungan kira-kira 9,500 atlet, pegawai kontinjen, pegawai teknikal dan sukarelawan pada temasya kebangsaan itu yang dijadual bermula pada 24 Mei hingga 4 Jun depan.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata segala persiapan menjelang temasya tersebut telah siap sepenuhnya kecuali empat gelanggang iaitu akuatik, badminton, kelab golf dan dewan squash masih dalam penyelenggaraan terakhir.

Bagaimanapun, menurutnya pihak kontraktor memberi jaminan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan itu akan siap pada penghujung April ini sebelum bermulanya temasya SUKMA XVII 2014.

“Kami di Perlis telah bersedia untuk menerima kunjungan semua 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian pada temasya kali ini dan setakat ini hanya empat gelanggang masih belum siap sepenuhnya namun kontraktor memberi jaminan akan siap pada penghujung April ini,” katanya.

Azlan berkata berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Mengulas mengenai kunjungan tersebut, Azlan berkata ia merupakan tradisi bagi mana-mana tuan rumah SUKMA untuk mengundang secara rasmi kontinjen yang mengambil bahagian pada temasya tersebut termasuk Sarawak.

“Kedatangan kami ke Sarawak merupakan kesinambungan tradisi yang telah lama diamalkan negeri-negeri untuk mengundang secara rasmi kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian pada SUKMA dan kali ini di Perlis,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kerjasama yang dibincangkan pada kunjungan tersebut, Azlan berkata tiada kerjasama khususnya dibincangkan melainkan hal-hal umum melibatkan bidang sukan seperti mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketenggahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Hadir sama Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Muda Sukan merangkap Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Ramli Dai dan Exco Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad.

Dalam pada itu, kontinjen Sarawak bakal menghantar 500 orang atlet dan pegawai dengan menyertai 22 jenis sukan seperti akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, golf, hoki, kanu, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, petanque, sepak takraw, skuasy, taekwando, tenis, tenpin bowling, tinju dan wushu.

Majlis penyerahan bendera akan diadakan pada 21 Mei depan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diikuti majlis sambutan Gawai pada 1 Jun di Restoran Terapung Hotel Brasmana, Kuala Perlis dan malam kesyukuran serta penyampaian insentif kontinjen pada 6 Jun nanti di sini.

SUKMA XVII Perlis 2014 menawarkan sebanyak 396 pingat emas, 396 perak dan 473 gangsa dengan 19 sukan wajib dan lima sukan pilihan.