Polis trafik antara tiga terbunuh dalam dua kemalangan

0

Kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga mangsa mengalami remuk teruk akibat kemalangan di Kilometer 78, Jalan Lahad Datu-Tungku.

LAHAD DATU: Seorang anggota polis trafik antara tiga orang yang terbunuh dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di sini petang dan malam Isnin lepas.

Dalam kejadian pertama pada jam 11.27 malam membabitkan dua kenderaan di Kilometer 5, Jalan Kunak-Tawau,  mangsa merupakan penumpang kenderaan Perodua Kancil dan duduk di bahagian hadapan dikenali sebagai Sarjan Pangkuma A/K Biddie, 42, berasal dari Sarawak dan berkhidmat di Cawangan Trafik Balai Polis Kunak.

Seorang lagi mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Wong Hong Sung, 71, iaitu penumpang yang duduk di bahagian belakang pemandu Kancil itu.  Sementara pemandu Kancil berumur 51 tahun mengalami cedera dan kini masih menerima rawatan di Hospital Daerah Kunak bersama-sama seorang lagi mangsa yang cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kunak Supt M Radzali Mahmud ketika dihubungi berkata, siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kenderaan Kancil yang dinaiki kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kunak menuju ke simpang empat arah Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kenderaan Kancil terbabit dikatakan membelok ke kanan memasuki ke satu simpang dan dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan 4WD jenis Nissan Navara yang dalam perjalanan dari arah Tawau ke Lahad Datu merempuh Kancil berkenaan.

“Impak daripada kemalangan itu mengakibatkan keempat-empat mangsa tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Kunak yang tiba sejurus selepas itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Manakala dalam satu lagi kemalangan, seorang maut manakala dua yang lain cedera ringan selepas kenderaan jenis Proton yang dinaiki ketiga-tiga mangsa terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori tanker di Kilometer 78, Jalan Lahad Datu-Tungku, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang meninggal di tempat kejadian adalah pemandu kereta dikenali sebagai Abdul Wahab Ali, 45, akibat parah di kepala dan tangan kanan.

Manakala dua lagi mangsa yang cedera adalah wanita dan salah seorang daripadanya adalah isteri kepada Abdul Wahab.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Shamsudin Mat berkata, siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpunca dari lori tanker yang hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari kilang sawit Kembara Sakti, Felda menuju ke Lahad Datu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke lorong kanan dan terbabas ke bahu jalan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki kesemua mangsa yang pada masa sama dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Felda Ambara Budi Sahabat 20.

“Impak daripada kemalangan itu mengakibatkan kenderaan mangsa mengalami remuk teruk dan mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri dan seorang lagi rakan mangsa yang mengalami cedera ringan dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu,” katanya sambil menambah, mangsa yang tersepit kemudiannya berjaya dikeluarkan hasil bantuan orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.