`Utusan Sultan Sulu’ diberkas

0

 

BENDERA `Kesultanan Sulu’ yang dipasang di sebuah rumah didiami lelaki yang ditahan di Kampung Long Danau.

Lelaki berusia 57 tahun itu memasang bendera `Kesultanan Sulu’ di rumahnya

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang mengaku dirinya diberi kuasa oleh ‘Sultan Sulu’ untuk mengurus masyarakat Suluk yang sudah berada di daerah ini diberkas dalam satu operasi khas yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan, kira kira 16km dari bandar Lahad Datu, kelmarin.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Haji Mohammad Mentek berkata, berdasarkan maklumat Bahagian Pertahanan ESSCOM, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan kerana memasang bendera ‘Kesultanan Sulu’ yang dikhuatiri boleh mempengaruhi semangat patriotik masyarakat Suluk yang sudah lama menetap atau menjadi warganegara di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut identiti lelaki yang hanya memiliki salinan kad pengenalan terbabit atas faktor keselamatan.

Beliau berkata pihak ESSCOM mengesan bendera yang dipasang di rumah lelaki berkenaan semasa anggota keselamatan ESSCOM diketuai pegawai memerintah 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membuat rondaan di situ Ahad lepas (20 April) sekitar jam 9 malam.

“Anggota kita yang membuat rondaan melihat ada bendera kesultanan Sulu dipasang di salah satu rumah di kampung itu yang menimbulkan rasa curiga.

“Berikutan itu, anggota keselamatan melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan ESSCOM dan seterusnya memaklumkan Briged ESSCOM yang berpangkalan di Cenderawasih (Felda Sahabat).

“Anggota pertahanan dan keselamatan ESSCOM yang membabitkan satu platun masing-masing dari RAMD, komander tentera dan VAT 69 (polis) telah mengepung perkampungan itu sebelum menggeledah rumah yang disyaki kira-kira jam 5.30 pagi tadi (Selasa),” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Mohammad berkata, selepas menggeledah empat rumah di bahagian hujung kampung yang berdekatan dengan pantai itu, anggota ESSCOM berjaya mengesan rumah yang memasang bendera itu yang didiami 14 beranak.

Beliau berkata selepas menyoal siasat anggota keluarga itu, anggota pertahanan dan keselamatan ESSCOM menahan lelaki terbabit.

Mohammad berkata, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo yang merupakan medan pendaratan kumpulan penceroboh atau pengganas Sulu pada Februari tahun lepas.

Peristiwa berdarah Tanduo, Lahad Datu dan Simunul Semporna yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala 68 pengganas ditembak mati, adalah detik hitam dalam sejarah negara yang mengingatkan betapa pentingnya jutaan rakyat Malaysia bersatu mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.

Susulan peristiwa pencerobohan pengganas Sulu itu, ESSCOM ditubuhkan pada 1 April tahun lepas bagi menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan di negeri ini, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.