Telefon awam sekadar di pinggiran

0

KUCHING: Terbiar tanpa penyelenggaraan dan tidak mendapat sambutan merupakan gambaran jelas kemudahan telefon awam di sekitar bandar raya ini yang sebelum ini banyak berjasa kepada masyarakat.

Jika penghujung tahun 90-an dan awal 2000 menjadi tumpuan masyarakat terutama untuk menghubungi orang tersayang atau membuat panggilan kecemasan, namun sekarang telefon awam ibarat barang hiasan.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam mendapati kebanyakan telefon awam di taman-taman perumahan, bangunan komersial dan tempat awam tidak berfungsi selain menjadi mangsa vandalisme.

Rugayah Ahmad, 43, berkata, telefon bimbit yang digunakan secara meluas ketika ini menyebabkan kemudahan telefon awam semakin dipinggirkan.

“Kita boleh lihat sekarang telefon awam tidak banyak didirikan. Ada pun mungkin di kawasan tertentu.

“Kebanyakan telefon awam yang gagal berfungsi disebabkan vandalisme dilakukan golongan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, penggunaan telefon awam masih relevan ketika ini terutama di kawasan yang menghadapi masalah liputan rangkaian telekomunikasi telefon bimbit.

“Biarpun kebanyakan masyarakat memiliki telefon bimbit, namun telefon awam masih diperlukan terutama ketika kecemasan,” ujarnya.

Bagi penjawat awam Mohd Hamzah Puini, 40, ketika ini telefon awam tidak lagi menjadi keperluan masyarakat.

“Dahulu telefon awam adalah segala-galanya bagi masyarakat terutama untuk menyampaikan berita kecemasan atau menghubungi orang tersayang,” jelasnya.

Dia juga tidak menolak sumbangan telefon awam masih diperlukan ketika ini.

“Saya fikir telefon awam masih diperlukan semasa kecemasan,” kata Hamzah.

Ketua Kaum (KK) Kampung Siol Kandis Ibrahim Kili, 59, berkata dahulu telefon awam merupakan alat komunikasi utama masyarakat namun sekarang ia seperti tidak diperlukan lagi.

“Telefon awam memang banyak berjasa kepada masyarakat,” tambahnya.

Dia berkata, telefon awam sekarang diubah seperti barang perhiasan dan menjadi mangsa vandalis pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita boleh lihat sekarang, kebanyakan telefon awam dirosakkan golongan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.