Tingkat sistem gred polis bantuan

0

UNTUK KENANGAN: Ayub (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Lau sambil disaksikan oleh Law (tengah) pada Majlis Penyampaian Sijil Polis Bantuan dan Perjumpaan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, PDRM bersama Agensi Polis Bantuan di Crown Towers, Kuching semalam.

KUCHING: Sektor awam dan swasta digesa untuk meningkatkan sistem pem­berian gred polis bantuan masing-masing bagi mem­beri motivasi dan mengeka­lkan minat ke atas pasukan tersebut.

Pengarah Jabatan Pence­gahan dan Pembanterasan Jenayah Datuk Ayub Yaakob berkata, institusi-institusi yang menggunakan khidmat itu perlu menjadikan sektor polis bantuan tersebut lebih menarik bagi menarik lebih ramai orang untuk menyer­tainya.

“Kita hendak pastikan perkhidmatan itu menarik dan bukan pilihan terakhir,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Polis Bantuan dan Perjumpaan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Po­lis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Polis Bantuan di Crown Towers di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temenggung Vincent Lau Lee Ming, Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Law Hong Soon dan Pengurus Pembangunan Tanah Kor­porat KTS Datuk Vincent Chapman.

Ayub berkata, institusi-institusi perlu menyediakan keperluan seperti kewan­gan, elaun, ganjaran, selain pakaian seragam dan segi logistik.

Katanya, pemberian kend­eraan serta alatan komunikasi akan memastikan rondaan dijalankan dengan lebih cekap.

Selain itu, katanya, polis bantuan menjalani kenaikan pangkat seperti PDRM, jika menunjukkan prestasi cemer­lang dalam kerja.

Antara pangkat-pangkat itu adalah seperti konstabel, lans korporal, sarjan, sarjan mejar, inspektor kanan (SI), inspektor malah sehingga ACP namun pemberian gred prestasi perlu dilakukan se­cara ketat bagi mengekalkan kualiti dan imej pasukan, katanya.

“Polis bantuan meneri­ma latihan asas oleh polis mengikut modul ditetapkan. Kita juga menentukan pen­gambilan dan tapisan kelu­lusan tertentu, menjadikan kelayakan mereka ini seperti polis biasa.

“Cuma kenaikan pang­kat itu bergantung dengan prestasi mereka dan kemam­puan syarikat itu sendiri,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 40,000 jawatan sebagai polis bantuan disediakan namun hanya 25,000 sahaja telah diisini.

Lazimnya, polis bantuan ini diletakkan di kawasan berisiko tinggi dan tem­pat-tempat penting seperti bank, lapangan terbang, pelabuhan, pusat-pusat rawatan air dan empangan hidro.

Sementara itu, Law mem­beritahu, kewujudan polis bantuan amat bertepatan kerana dapat membantu polis dalam membendung jenayah dan menjalankan kerja-kerja kepolisan.

“Selain polis bantuan, masyarakat juga boleh memainkan peranan yang penting seperti bekerjasama dengan pihak polis untuk membendung dan membasmi jenayah,” katanya.