Awas taktik ‘ingin bantu’

0

KUCHING: Seorang remaja terkedu apabila dua lelaki yang kononnya ingin membantunya, melarikan motosikalnya selepas mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya di Matang, Kuching kelmarin.

Insiden berlaku sekitar jam 3 petang kelmarin apabila remaja berusia 17 tahun yang bekerja sebagai juruwang itu mengalami kecederaan ringan selepas motosikal Yamaha milik bapanya yang ditungganginya terbabas.

Menurutnya, dua lelaki yang juga menaiki motosikal Yamaha tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan menawarkan pertolongan untuk menghantarnya pulang.

Mangsa kemudian membonceng motosikal yang ditunggangi oleh seorang daripada lelaki itu dan seorang lagi menunggang motosikal bapa mangsa.

Bagaimanapun, semasa tiba di satu kawasan komersial, kedua-dua lelaki berkenaan telah berhenti di sebuah kedai dengan alasan ingin membeli rokok dan kemudian menyuruh mangsa turun dari motosikal.

Sejurus mangsa turun dari motosikal tersebut, kedua-dua lelaki tadi terus memecut laju dari tempat kejadian meninggalkan mangsa tercengang di hadapan kedai berkenaan.

Mangsa segera menghubungi keluarganya dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.