Bot terbabit tragedi karam di sungai tiada lesen sah

0

TINGKAT KECEKAPAN: Beberapa anggota bomba dan penyelamat berusaha ‘menyelamatkan’ para nelayan yang terjun ke laut untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka ‘terbakar’ semasa Latihan Mencari dan Menyelamat APMM di perairan Miri semalam.

MIRI: Semua lima buah bot penumpang yang menemui tragedi di Sungai Rajang pada tahun lepas termasuk di Daro hingga mengorbankan lebih 20 nyawa, didapati tidak mempunyai lesen yang sah sekali gus menyebabkan keselamatan penumpang tidak terjamin.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit berkata, tidak seperti bot ekspres yang beroperasi dengan lesen yang sah, pengendali bot kecil cenderung untuk mengabaikan aspek keselamatan dan tidak mempunyai peralatan penting untuk menyelamatkan nyawa penumpangnya.

“Kebanyakan penumpang ini yang terlibat dalam beberapa tragedi bot di Sungai Rajang tidak memakai jaket keselamatan.

“Selepas ini, kita mahu semua orang yang terlibat dalam bot yang beroperasi di negeri ini supaya mematuhi peraturan-peraturan dengan mengoptimumkan penggunaan peralatan dalam bot mereka khususnya dalam aspek keselamatan nyawa,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) APMM di Marina Bay, Miri semalam, beliau berkata pihaknya tidak mahu tragedi yang berlaku ke atas bot-bot yang beroperasi di Sungai Rejang seperti sebelum ini, berulang lagi.

“Oleh itu, kita memberi amaran tegas terhadap pengusaha bot untuk mematuhi semua peraturan terutama bagi memastikan keselamatan penumpang mere- ka,” tambahnya.

Menurut Ismail, antara peraturan yang mesti dipatuhi mereka ialah semua bot khususnya yang ada membawa penumpang perlu menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi untuk jumlah penumpang yang dibawa.