Konstabel parah tertembak rakan

0

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah selepas tertembak oleh rakan setugasnya ketika sedang sibuk membersihkan senjata dalam insiden di Balai Polis Luyang, di sini kelmarin.

Kejadian pada jam 7.12 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan serius pada bahagian dada, namun dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II, di sini.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya, berpangkat koperal sedang bersiap sedia untuk melaporkan diri bagi bertugas di Pondok Polis Kawasan (PPK) HQE II.

Bagaimanapun, ketika rakan mangsa sedang mengosongkan pistol, tidak semena-mena terlepas tembakan yang mengenai mangsa.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui kelmarin mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, ketika kedua anggota itu sedang bersiap melaporkan diri untuk bertugas ke PPK HQE II dan mengambil pistol jenis Revolver .38 di dalam stor senjata di Balai Polis Luyang.

“Berdasarkan maklumat awal, ketika rakan mangsa sedang mengosongkan pistol terbabit, tiba-tiba satu das tembakan terlepas dan mengenai badan mangsa.

“Mangsa yang berasal dari Sarawak itu kini dilaporkan stabil dan hasil pemeriksaan pihak hospital menjelaskan peluru itu tidak mengenai organ sensitif,” katanya sambil menambah, pembedahan akan dijalankan segera bagi mengeluarkan peluru yang masih berada di dalam badan mangsa.

Mengulas lanjut, polis masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu terjadi.

“Rakan setugas mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.