Lelaki warga emas habiskan sisa hidup dengan keluarga asing

0

KUCHING: Menghabiskan sisa hidup bersama keluarga asing mungkin adalah pilihan terakhir seorang lelaki warga emas yang ditemui mati di laman sebuah rumah di Batu 13 Jalan Kuching-Serian kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Babeh dipercayai berusia sekitar 60-an tinggal bersama keluarga berkenaan sejak Ahad lepas dan enggan pulang ke rumahnya selepas itu.

Barry iaitu seorang daripada ahli keluarga tersebut memberitahu, mangsa yang sebelum ini juga pernah datang ke rumahnya meminta untuk menumpang buat sementara waktu kerana lebih selesa di situ.

“Babeh sampai sini pada malam Ahad lepas dalam keadaan mabuk dan kemudian meminta kepada saya untuk tinggal sementara waktu di sini kerana mengalami sakit perut dan mahu berehat sehingga ia beransur pulih.

“Pada keesokan harinya (Isnin) dia masih mengadu sakit perut dan sampai hari ini (Selasa) dia langsung tidak ada menjamah walau sesuap nasi kerana mengadu turut hilang selera makan.

“Awal malam tadi (malam kelmarin), dia beritahu dia berasa panas dan mahu mengambil angin luar, tetapi apabila saya memanggil dia masuk semula sekitar jam 9.30 malam, saya tengok dia berbaring di atas lantai dan tidak lagi bernafas,” Kata Barry.

Menurutnya, dia terus ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai perkara tersebut.

Identiti mangsa sehingga berita ini ditulis masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa selain keluarga tempat mangsa menumpang juga tidak mengetahui latar belakang mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes tersebut buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.