PAS Sarawak sokong penuh hasrat Kelantan bawa isu hudud ke Parlimen

0

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menyokong penuh hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membawa satu rang undang-undang persendirian berkaitan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan Badan perhubungan PAS Sarawak Andre Zulkarnaen Hamden @ Abusiraj Almuner berkata, usaha Kelantan itu bertepatan dengan kehendak Perlembagaan negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi kerajaan persekutuan.

“Justeru, kita meminta semua pihak menghormati hasrat itu agar dapat memberi sokongan tanpa ada sikap prejudis agar ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang tentangan terutama daripada Ahli Parlimen beragama Islam.

“Kita mendoakan agar kerajaan negeri Kelantan dapat melaksanakan amanah yang telah sekian lama terpendam ini akan mencapai kejayaan tanpa ada sebarang halangan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Andre, pengalaman Kelantan dalam usaha melaksanakan hukum hudud itu merupakan satu proses yang panjang dan penuh ranjau berduri malah sejak era bekas Menteri Besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, sejarah penggubalannya cukup matang dan difahamkan ia merupakan sumbangan cendekiawan perundangan Islam Antarabangsa Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad.

Selain itu, katanya, ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan dalam bidang syarie dan jenayah sivil, malah telah melalui proses memperkenalkan, membincang dan meluluskannya.

Enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) akan genap usia 21 tahun pada bulan November ini sejak ia diluluskan pada November 1993.

Malah, tidak terkecuali ia juga melalui proses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di Kota Bharu dan Kuala Lumpur, katanya.

Forum dan perbincangan secara terbuka telah dianjurkan oleh pelbagai pihak sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Kelantan.

Andre turut memberitahu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, semua ahli dewan termasuk daripada UMNO menyokong usaha kerajaan untuk melaksana perundangan syariah tersebut namun malangnya permohonan ke arah pelaksanaannya ditolak oleh kerajaan pusat.

Di samping itu, katanya, kebebasan beragama juga termasuk dalam Perlembagaan di mana Islam sebagai agama rasmi sepatutnya bebas melaksanakan perundangan syariah terhadap penganutnya tanpa sebarang sekatan oleh pihak lain.

“Dengan perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan sudah tentu akan memperkukuhkan lagi maksud sebenar agama Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.