Rempuh belakang kereta sebelum samun

0

KOTA KINABALU: Seorang kerani wanita di sebuah syarikat swasta berdepan detik mencemaskan selepas disamun oleh penjenayah yang bertindak melanggar bahagian belakang kenderaannya dalam satu insiden di Jalan Kionsom, Inanam, di sini.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang Selasa lalu itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami kerugian lebih RM2,000 apabila suspek meragut rantai emas miliknya sebelum melarikan diri.

Terdahulu sebelum insiden berkenaan terjadi, mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Bukit Padang, dekat sini itu dikatakan dilanggar dari bahagian belakang oleh suspek yang memandu sebuah pacuan empat roda Hyundai berwarna putih.

Mangsa yang panik akibat rempuhan itu kemudiannya keluar dari kenderaan untuk memeriksa kerosakan sebelum didatangi oleh suspek.

Ketika mangsa sedang sibuk menelefon majikannya berhubung kejadian berkenaan, mangsa bertindak menolak mangsa ke dalam kenderaan sebelum meragut rantai emas lalu melarikan diri menggunakan Hyundai berkenaan.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan merampas kenderaan digunakan oleh suspek berhampiran Jalan Shantung, Penampang kira-kira jam 7.30 malam Selasa lepas.

“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini, bagaimanapun Hyundai yang digunakan oleh suspek berjaya dirampas.

“Polis kini giat menjalankan siasatan dan memburu suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya di sini kelmarin.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.