Sarawak bakal miliki lapangan memanah baharu

0

KUCHING: Sarawak bakal memiliki lapangan memanah baharu yang akan digunakan sebagai venue SUKMA ke-19 pada 2016.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan membina lapangan baharu itu sedang berjalan dan hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Kita bercadang untuk membina lapangan memanah baharu sebelum SUKMA 2016 berlangsung,” katanya semasa merasmikan Kejohanan Memanah Terbuka Sarawak ke-16 di SMK Tabuan Jaya semalam.

“Saya harap cadangan tersebut mendapat kelulusan dari kerajaan negeri memandangkan kita akan menjadi tuan rumah dan menyasarkan untuk menjadi juara keseluruhan pada SUKMA 2016 nanti.”

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, lapangan baharu itu sangat penting bagi program pembangunan sukan memanah Sarawak.

“Dengan adanya lapangan memanah baharu, Sarawak dapat melahirkan lebih ramai atlet baharu yang dapat membantu mengharumkan nama negeri di kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur kejohanan, Persatuan Memanah Negeri Sarawak (Pemasa) yang sentiasa aktif dalam memastikan kejohanan tahunan itu diteruskan.

“Saya difahamkan banyak kelab dan pusat sukan memanah telah ditubuhkan di sini.

“Ini merupakan tanda positif bahawa sukan ini semakin diminati dan saya percaya dalam tempoh dua tahun lagi kita akan melahirkan ramai lagi atlet memanah yang mampu membawa kecemerlangan untuk Sarawak,” tambahnya.

Karim juga berharap lebih banyak kejohanan memanah dianjurkan Sarawak pada masa akan datang sebagai landasan untuk membangunkan sukan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Sebanyak 14 pasukan termasuk jemputan dari Persatuan Memanah Negeri Sabah, Selangor, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang bersaing bagi merebut kejuaraan pada kejohanan yang berlangsung dari 23 hingga 27 April.

Sarawak akan diwakili Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Persatuan Memanah Bahagian Kuching, Sarikei, Bintulu, Limbang, Lawas, Kelab Memanah Kenyalang, Pusat Sukan Memanah King’s dan Kuching Indoor Archery Academy Club.

Hadir sama Naib Presiden Pemasa Bong Jiew Khiun, Setiausaha Agung Chong Yap Jin dan Pemangku Pengarah MSNS Abdul Muktalib Mohamad.