Senjata api tiada lesen kesalahan serius

0

Minat berburu tidak ‘halalkan’ pemilikan senjata api.

Polis rampas lebih 10 senapang di kawasan luar bandar Miri sejak beberapa bulan lalu

MIRI: Lebih 10 laras senapang patah dan senapang angin buatan sendiri dirampas polis terutama di kawasan luar bandar Bahagian Miri pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Gan Tian Kee berkata kejayaan itu adalah hasil maklumat dan kerjasama orang awam.

“Justeru, kita amat berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa memberikan maklumat dan kerjasama kepada pihak polis dalam membantu menangani kegiatan jenayah di bandar raya ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, pagi semalam.

Hadir sama ialah Timbalannya, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, Asisten Superintenden Polis (ASP) Cheong Soon Yew, Inspektor Nasrul Hadi Jahat dan Sub Inspektor Khor Hang Seng.

Dalam pada itu, Gan tidak menolak kemungkinan budaya minat berburu yang diwarisi dari generasi terdahulu di kalangan penduduk di sini telah mendorong seseorang individu untuk menghasilkan sendiri senapang patah atau senapang angin.

“Penduduk di Sarawak dan Sabah sangat agak unik dan kreatif kerana boleh membuat senapang patah sendiri.

“Walau apapun alasan yang diberikan, memiliki senjata api secara haram atau tanpa lesen yang sah tetap merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegas beliau lanjut.

Sehubungan itu, Gan menasihatkan orang ramai yang mempunyai senapang patah agar menyerahkannya kepada pihak polis dengan segera untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan tersebut.

Ini kerana, katanya, pemilik senapang patah akan sentiasa berusaha menyembunyikan senjata api mereka di rumah, namun polis berjaya melakukan rampasan hasil maklumat orang awam yang membuat laporan polis sekiranya berlaku sesuatu kes.

“Ini termasuk rampasan dalam kes terbaharu membabitkan dua lelaki di Kampung Sebalik, Bekenu pada petang kelmarin setelah polis menerima laporan berhubung kes ugutan jenayah yang kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes itu katanya, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.05 petang, 22 April lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri yang diketuai Inspektor Nasrul menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut dan menangkap dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 22 tahun.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut dalam rumah itu telah menjumpai dan merampas dua laras senapang patah dan empat laras senapang angin buatan sendiri berserta dua butir peluru penabur untuk dijadikan barang kes.

“Dari apa yang kita lihat, dua laras senapang angin ini kelihatan asli cuma beberapa komponennya yang telah diubah suai,” katanya sambil menambah kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akya Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan, kata Gan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala Seksyen 8 (a) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.