Tangan wanita tersepit pada mesin pengering kain

0

DETIK-DETIK cemas ketika usaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada mesin pengering kain di sebuah kedai dobi kelmarin.

TAWAU: Tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan tangan seorang wanita yang tersepit pada mesin pengering kain berjaya mengelak kecederaan lebih parah ditanggung mangsa.

Ketua Balai Bomba Daerah Tawau Rudy Fredzex, berkata pasukannya mengambil masa selamat empat minit selepas tiba di lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Kejadian berlaku di sebuah kedai dobi di Jalan Dominic,” katanya di sini kelmarin, sambil memberitahu mangsa adalah isteri kepada pemilik kedai dobi terbabit.

Terdahulu, Rudy berkata bomba menerima panggilan mengenai kes itu pada jam 10.14 pagi sebelum bergegas dan tiba di lokasi kejadian selang tiga minit kemudian.

Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati tangan kanan mangsa tersepit di mesin terbabit semasa sedang membersikan mesin itu.

“Kita terpaksa membuka komponen mesin berkenaan untuk mengeluarkan tangan mangsa,” katanya serta mengesahkan mangsa dihantar ke hospital oleh suaminya.

Beliau berkata, khidmat kemanusiaan yang dijalankan pasukannya dalam kes terbabit melibatkan keanggotaan seramai enam anggota bomba dan sebuah jentera.

Sementara itu, pemilik kedai dobi yang juga suami kepada mangsa ketika dihubungi Utusan Borneo enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.