Wanita dipukau, RM30,000 lesap

0

SIBU: Hanya sekali tepuk dari belakang, seorang wanita pertengahan umur mengalami kerugian kira-kira RM10,000 dan kehilangan barang kemas bernilai RM20,000 selepas dipercayai dipukau tiga wanita warganegara China.

Rentetan kisah bermula pada 28 Februari lepas, mangsa dikenali sebagai Chieng, 56, berada di Pasar Sentral, Sibu apabila tiga wanita warganegara China menegurnya.

“Saya hanya ingat bahu saya ditepuk dari belakang oleh salah seorang daripada mereka dan selepas itu saya hanya menuruti apa yang disuruh oleh mereka,” katanya semalam.

Menurut Chieng, mereka bertanya sama ada dia mengenali seorang lelaki tua berumur 90 tahun yang pandai mengubati penyakit orang.

Selepas menjawab tidak tahu, katanya, mereka memberitahu bahawa mereka hanya pandai menilik nasib seseorang.

“Mereka kemudiannya memberitahu bahawa saya mempunyai penyakit dan perlu berubat di Tua Pek Kong,” ujarya sambil menambah, mereka mendakwa penyakit tersebut perlu diubati segera kerana jika tidak, anak perempuannya akan meninggal dunia.

Selepas itu, Chieng berkata dia dikehendaki mengeluarkan wang dan harta benda untuk meneruskan niat untuk berubat.

Dengan rela hati, Chieng pergi ke dua buah bank bagi mengeluarkan RM5,000 di setiap bank dan membawa barang kemas bernilai RM20,000 untuk dibawa kepada mereka yang berada ke Tua Pek Kong.

Di situ, katanya, semua wang dan barang kemas telah disimpan di dalam plastik berwarna hitam.

Ketika upacara menjampi plastik itu dijalankan, dia disuruh membelakangkan mereka dan pada masa yang sama, mereka menanggalkan rantai emas putih, cincin dan gelang emas yang dipakainya.

Mangsa kemudiannya diarah membawa plastik hitam tersebut dan pulang terus ke rumah terus tanpa menoleh ke arah mereka.

Selain itu, Chieng tidak dibenarkan membuka plastik itu sehingga 17 Mac.

Apabila genap tarikh itu, Chieng hanya mendapati dua botol air mineral dan garam seberat dua kilogram berada di dalam plastik beg tersebut.

“Saya hanya menyedari bahawa saya telah ditipu mereka seperti dipukau oleh tiga wanita dari China itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis mengenai kes tersebut pagi semalam.