Kanun Tanah akan dipinda bolehkan urusan jual beli NCR

0

KUCHING: Kanun Tanah Sarawak akan dipinda bagi membolehkan urusan menjual dan membeli tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, bagaimanapun urusan jual beli itu hanya melibatkan kaum Bumiputera di Sarawak.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Tanah Sarawak akan dibentangkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun ini.

“Kita (kerajaan negeri) mahu meminda Kanun Tanah Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri, November ini bagi membolehkan mana-mana penduduk asal untuk membeli tanah NCR daripada penduduk asal di Sarawak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Taib berkata, urusan jual beli tanah NCR sebelum ini dihadkan dalam kalangan komuniti tertentu, di tempat atau rumah panjang tertentu menyebabkan nilai tanah sangat rendah kerana ia tidak boleh dijual kepada komuniti lain sama ada Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.

Perkara itu, ujarnya, hanya boleh diterima pakai atau praktikal 100 atau 200 ratus tahun lalu kerana alasannya mahu mengekalkan pemilikan tanah dalam kalangan komuniti tertentu sahaja.

Dahulu, ujarnya, penggunaan tanah NCR hanya untuk tujuan pertanian tetapi kini pembangunan tanah bersifat lebih luas iaitu itu komersil, perindustrian dan kediaman.

Oleh itu, katanya, undang-undang yang diguna pakai sekarang perlu mengadaptasi keperluan semasa.

“Memandangkan perkara ini sangat rumit, kita perlu berunding dan mendapat nasihat daripada pihak-pihak tertentu sebelum pindaan boleh dilakukan. Oleh sebab itu, Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Tanah Sarawak hanya akan dibentangkan pada persidangan dewan November nanti,” jelasnya.

Adenan dalam pada itu memberi jaminan, pindaan itu tidak akan menyebabkan Bumiputera hilang hak pemilikan tanah NCR kerana ia tidak membenarkan urusan jual beli kepada Cina atau kaum bukan Bumiputera lain.