Kejuaraan motocross bakal gegar Kota Samarahan

0

KUCHING: Kejuaraan AAM Malaysia Motocross Championship 2014 (Pusingan 2) dan AAM – Borneo Motocross Challenge 2014 (Pusingan 1) akan membuka tirai pada 26 hingga 27 April ini di Litar Motocross Kota Samarahan.

Kejuaraan ini adalah anjuran bersama Majlis Daerah Samarahan dan Persatuan Sukan Lumba Automotif Sarawak (SARSA) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak dan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama Sarawak Motocross Club.

Manakala pentadbiran perlumbaan ini akan dipantau dan dikawalselia oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Dijangka seramai 40 pelumba dari Sarawak, Sabah Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia akan menyertai perlumbaan pusingan pertama ini kelak.

Pembukaan pusingan pertama ini akan pasti menghangatkan para peminat motocross tempatan dengan adanya tiga acara utama iaitu Motocross 125, Motocross Open dan Motocross Veteran.

Ini termasuk perlumbaan sokongan antaranya Sarawak Motocross Masters, CKD Antarabangsa, CKD Sarawak Tertutup dan Mini Cross Terbuka.

Turut menyertai perlumbaan ini adalah adik Daud Kassim juara FIM Asia Junior Motocross (Round 2) dari Pahang selain pelumba dari Johor, Khairi Zakaria dan pelumba Selangor Suhaidi Ali Rahman.

Pelumba dari Sarawak seperti Chin Vui Ming, Kong Shan Nyan dan Jong Tze Ping juga tidak ketinggalan untuk merebut kejuaraan ini.

Untuk makluman, pada 26 April 2014 merupakan pertemuan semua pelumba di Litar Motocross Kota Samarahan dan sesi latihan bebas dan pada keesokan harinya (27 April) adalah perlumbaan sebenar kejuaraan tersebut.

Orang awam serta peminatpeminat motocross/motosikal lasak adalah dipelawa untuk menonton secara percuma dan juga dialu-alukan kepada mereka yang berminat dalam seni fotografi untuk turut membuat rakaman.