Padah ugut sebar gambar bogel, klip video lucah

0

SEORANG lelaki ditahan di Sibu kerana disyaki mengugut bekas teman wanitanya bahawa dia akan menyebarkan gambar bogel dan klip video lucah mereka untuk tatapan umum jika tuntutan wangnya tidak dipenuhi.

Menurut laporan polis, pasangan itu tidak berjumpa lagi sejak hubungan mereka terputus di Kuala Lumpur tahun lepas.

Suspek, 28, dipercayai menghubungi wanita berumur 20-an itu apabila dia tiba di Sibu pada Rabu lepas.

Suspek dikatakan meminta RM150 daripada wanita berkenaan dan mengugut agar mendedahkan gambar dan video klip bogelnya di Internet.

Keesokannya, lelaki itu sekali lagi memaksa bekas teman wanitanya agar memberi RM1,000 dan menyerahkan wang itu di sebuah hotel di pusat bandar Sibu.

Bagaimanapun, wanita tersebut meminta bantuan polis yang kemudian membuat satu perangkap.

Suspek kemudiannya ditahan apabila muncul selepas wanita itu tiba di lobi hotel tersebut.

Polis juga menjumpai gambar dan video klip bogel suspek dan wanita berkenaan di dalam komputer riba dan kamera suspek.

Difahamkan, wanita tersebut sedang merancang untuk berkahwin dengan seorang lelaki lain apabila suspek muncul semula.

Telefon milik suspek juga mengandungi gambar-gambar lucahnya bersama perempuan lain.