Rayuan kes liwat: Anwar mohon penyokong doakannya berjaya

0

KUCHING: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon para penyokongnya mendoakan agar beliau berjaya dalam rayuan kes liwat di Mahkamah Persekutuan.

Pada Himpunan Reformasi 2.0 di pekarangan pejabat PKR di Batu 3 di sini malam kelmarin yang kurang men-dapat sambutan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata proses rayuan kes beliau berhadapan masalah.

Kesukaran timbul apabila peguamnya mendiang Karpal Singh meninggal dunia.

Mahkamah menetapkan semalam sebagai hari terakhir bagi Anwar mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dirinya bersalah sebelum ini.

“Sebulan atau sebulan setengah lagi saya masuk semula penjara untuk lima tahun tetapi mungkin mereka tambah 10 tahun lagi,” katanya pada himpunan yang antara lain turut menampilkan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebagai penceramah.

Anwar berkata, beliau terpaksa datang ke Kuching dengan memberi notis singkat kerana bimbang ia adalah peluang terakhir dalam tempoh beberapa tahun untuk berbuat demikian jika dipenjarakan kelak.

Sementara itu, Baru berkata prestasi PKR di Sarawak menunjukkan peningkatan dan berharap memontum itu akan terus naik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, menurutnya, undi kepada Pakatan Rakyat telah meningkat.

Malah pada Pilihan Raya Kecil Balingian baru-baru ini undi kepada calon PKR telah meningkat kepada 1,000 lebih berbanding 800 lebih pada Pilihan Raya Negeri 2011.

“Kita dalam proses per-alihan kerajaan. Reformasi 2.0 diwujudkan ke arah itu,” ujarnya.

Chong pula dalam ucapannya berkata, DAP akan memastikan penguasaan ke-rusi-kerusi di luar bandar pada PRN akan datang.

“Kita tak berjaya pada PRN yang lepas tetapi ada peningkatan undi.

“Jika berjaya pada PRN kita yakin mampu menguasai Putra Jaya pada PRU14,” katanya.