Saksikan 30 petinju muaythai berentap Ahad ini

0

KUCHING: Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Persatuan Muaythai Bahagian Kuching (PMK) akan menganjurkan kejohanan muaythai pada Ahad ini (27 April) bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

Kejohanan selama sehari yang dianjurkan sempena Karnival Mesra Belia 1Malaysia dan Festival Belia Negeri Sarawak 2014 bakal menyaksikan pertembungan menarik seramai 30 peserta mewakili enam kelab muaythai sekitar Kuching, Lundu dan Miri.

Mereka yang terlibat Kelab Muaythai SS Fighters, Kelab Muaythai Lundu, Kelab Muaythai Kenyalang (MTK), Kelab Muaythai Bintawa (TMG), Kelab Muaythai Kenyalang Miri dan Kelab Muaythai KPS.

Objektif kejohanan antara lain bertujuan melahirkan pelapis bagi skuad muaythai negeri Sarawak agar dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Peminat akan disajikan pertarungan sengit melibatkan petinju amatur dan profesional yang terlibat.

Selain itu, beberapa acara sampingan sempena Karnival Mesra Belia 1Malaysia turut disediakan bagi memeriahkan aktiviti pada hari tersebut.

Antaranya ‘autoshow’, ceramah agama, derma darah, pertandingan kawad, bergendang, futsal, sukan lasak, pameran dan gerai jualan, konsert Cats FM dan ‘busking’.