Sarawak memerlukan lebih ramai sukarelawan

0

Cuma 1,650 sukarelawan untuk bantu 24,715 penerima bantuan orang tua, bantuan pesakit terlantar

PELEPASAN: Hasidah melakukan acara pelepasan peserta Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi membantu 24,715 orang klien penerima bantuan orang tua dan bantuan pesakit terlantar yang terdapat di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata sehingga April 2014, terdapat seramai 1,650 orang ahli sukarelawan didaftarkan meliputi kesemua 11 bahagian di Sarawak.

Ini menunjukkan masih ramai lagi sukarelawan diperlukan bagi membantu golongan ini dan memberikan sesuatu yang cukup bermakna kepada kehidupan mereka.

“Di Sarawak, Program Khidmat Bantu di Rumah atau ‘Home Help Services’ telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat.

“Kini, mengikut statistik terdapat seramai 118 orang sukarelawan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi program ‘Home Help Services.

’ “Ahli-ahli sukarelawan ini telah memberikan perkhidmatan kepada 325 orang klien terdiri daripada 202 orang klien warga emas dan 123 orang klien OKU,” katanya.

Fadillah berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali sempena Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care semalam di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Petra Jaya di sini.

Bercakap mengenai program tersebut, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata ia telah bermula pada 5 April lepas di Parlimen Pagoh, Johor dan akan tamat di Parlimen Batang Lupar pada 29 April ini.

Sepanjang perjalanan kembara ini, peserta akan mengunjungi rumah klien JKM di bawah ‘Program Home Help Services bagi membantu klien yang terdiri daripada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh para sukarelawan ini adalah seperti membersihkan rumah penerima bantuan kewangan daripada JKM, membuat penyelenggaraan kecil seperti mengecat rumah, membaiki pintu atau dinding yang rosak serta menghulurkan bakul makanan dan bahan penjagaan kebersihan diri.

Dalam pada itu, program kembara ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan melibatkan seramai lebih kurang 130 orang peserta di mana 30 orang daripadanya adalah dari Semenanjung Malaysia.

Program kembara di Sarawak bermula dari Parlimen Petra Jaya iaitu di PDK Petra Jaya diikuti Parlimen Sadong Jaya (25 April), Parlimen Serian (26 April), DUN Tanjung Datu (27 April) dan berakhir di Parlimen Batang Lupar pada 29 April 2014.

Turut diadakan adalah sesi Prisma Pikom Care OKU dengan mengadakan terapi muzik bagi menyebarkan perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada masyarakat sekeliling terutamannya golongan yang memerlukan.