POCA: 116 ditangkap di seluruh negara

0

KUALA LUMPUR: Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat yang dikuat kuasa 2 April lepas telah menahan 116 orang di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kebanyakan tangkapan melibatkan jenayah berat, kekerasan dan gengsterisme.

“Setakat ini, tiada ahli politik yang ditangkap,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di sini,semalam.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Mengulas lanjut mengenai POCA, beliau berkata anggota panel untuk akta ini telah dilantik dua minggu lepas dan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

POCA antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.

Wan Junaidi berkata pelaksanaan akta itu ialah bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan ataskepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Sementara itu Khalid berkata sehingga hari ini (semalam) pihak polis telah merekod 287 keterangan dan lebih banyak keterangan akan diambil selepas ini berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.

Mengenai perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang dirancang 1 Mei ini, beliau berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas ) 2012 atau SOSMA kepada pesertanya sekiranya mereka berdegil untuk berhimpun dan menimbulkankekecohan.

Ia dikatakan akan diadakan di Dataran Merdeka di sini.

“Apa yang dia nak sangat buat di situ. Mereka tak dapat kebenaran pihak berkuasa tempatan untuk buat di situ. Kita pun dah cadangkan lokasi alternatif di Stadium Merdeka,” katanya. — Bernama