Pengambilan penjawat awam di Sabah, Sarawak tidak patuhi BCS

0

KUCHING: Pengambilan penjawat awam di Sabah dan Sarawak sehingga sekarang adalah tidak mematuhi perjanjian Borneonisation of Civil Service (BCS).

Ini dinyatakan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee sambil menambah perkara tersebut seharusnya diteliti untuk dipatuhi.

“Walaupun kedua-dua negeri telah dijanjikan BCS, kami mendapati janji ini tidak dipenuhi terutama di Sabah.

“Setakat Januari 2014 misalnya, seramai 1,200 guru sekolah rendah telah ditempatkan di Sabah tetapi lebih 800 orang adalah dari Semenanjung Malaysia dengan selebihnya dari Sarawak dan hanya sebilangan kecil dari Sabah,” katanya.

Yong yang juga presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata demikian pada sidang media ‘Forum: Malaysia Agreement 1963 – Past, Present & Future’ yang diadakan di sebuah hotel, di sini semalam.

Forum berkenaan adalah anjuran Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan Borneo Heritage Foundation (BHF) Sabah.

Ia menampilkan lima panel penceramah iaitu Yong sendiri, Presiden BHF Sabah yang juga ADUN Bingkor merangkap Pengerusi STAR Datuk Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBDS Baru yang juga bekas ADUN Tasik Biru dan Ahli Parlimen Mas Gading Patrick Uren, peguam dari Australia Robert Pei serta Pengerusi HINDRAF Waythamoorthy Ponnusamy.

Forum yang bermula dari jam 2 hingga 5 petang itu turut dihadiri ratusan orang daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat antarabangsa.