Sarawak catat pelaburan RM6.8 bilion

0

RASMI: Awang Tengah (dua kiri), Dr Rahman (kiri), Asfia (empat kiri), Henry (dua kanan) dan kenamaan lain merasmikan pameran K1M di Lawas kelmarin.

Jumlah pelaburan suku pertama tahun ini, atasi jumlah diterima negeri lain

LAWAS: Ekonomi Sarawak terus berkembang apabila mencatat  pelaburan asing berjumlah RM6.8 bilion pada suku pertama tahun ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jumlah itu mengatasi jumlah diterima Selangor mahupun Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.

Katanya pencapaian tersebut dicapai kerana adanya kepimpinan baik dan berwawasan diasaskan oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melalui politik pembangunan.

“Kini semua dasar yang baik itu diteruskan oleh Ketua Menteri baharu, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bagi memastikan ekonomi Sarawak terus berkembang dan mampu menarik kemasukan pelabur asing,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Komuniti 1Malaysia (K1M) Peringkat Negeri Sarawak di sini kelmarin.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak Zaini Mohamad, Timbalan Residen Bahagian Limbang Hamidah Halpi dan Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata rakyat perlu akur bahawa sejarah membuktikan kekuatan perpaduan, persefahaman antara kaum dan agama di negeri ini.

Katanya perpaduan kukuh ini menjadi satu kekuatan yang sukar digugat sejak penguasaan Parti Perikatan dan sekarang Barisan Nasional (BN).

“Kita bukannya takut dengan pemimpin pembangkang terutama dari Semenanjung Malaysia, tetapi kita sayang dengan rakyat dan mahu memastikan perpaduan serta persefahaman sekian lama  tidak dicemari oleh permainan politik perpecahan yang dibawa oleh pihak luar itu.

“Kuasa Imigresen adalah hak yang kita persetujui sejak awal pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Sabah dan Sarawak.

“Kita juga perlu faham Sabah dan Sarawak sebenarnya bersama membentuk sebuah negara Malaysia bersama negeri persekutuan lain dan kita bukannya masuk Malaysia,” tambahnya.

Pada masa sama, Awang Tengah mahu K1M menjadi rujukan kepada masyarakat kampung menyebarkan maklumat tepat dan benar tanpa dicemari fakta yang banyak diperolehi dalam laman-laman media sosial.

Katanya K1M perlu menjadi pelopor kegiatan yang mendatangkan faedah selain menjadi contoh setiap kejayaan dalam semua aspek seperti pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Setiap kejayaan akan menjadi perangsang kepada masyarakat melihat K1M bukan hanya terlibat dalam aktiviti membaiki rumah, membina jeti dan sebagainya sebaliknya menjadi contoh kepada kejayaan lebih besar kumpulan tersebut,” jelasnya.

Aspek kejujuran harus ditonjolkan dalam membimbing anak-anak buah di peringkat kampung dan sentiasa berusaha memahami kegiatan jabatan kerajaan yang terdapat di daerah masing-masing bertanggungjawab secara langsung terhadap pembangunan.

“Hubungan erat antara masyarakat dan jabatan akan menjadi landasan mempercepatkan proses pembangunan,” katanya.

Sebanyak 234 K1M daripada 33 daerah seluruh negeri ini menghadiri konvensyen itu.

Pemilihan Lawas sebagai tuan rumah dilihat amat relevan bersesuaian dengan Tahun Melawat Sarawak (TMS) 2014 kerana Lawas merupakan gerbang utara negeri ini dan sebuah daerah yang pesat membangun.