Markas Task Force 450 ditempatkan di Kota Belud

0

MOHAMED AFFANDI (tiga kiri) berkesempatan melawat anggotanya yang tercedera, Prebet Abdul Latif di HQE kelmarin.

KOTA KINABALU: Kem Paradise, Kota Belud akan dijadikan salah satu kawasan penempatan untuk markas Task Force 450.

Panglima Tentera Darat Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, buat masa sekarang pihaknya belum dapat memastikan bila markas Task Force 450 akan berpindah ke kawasan itu.

“Kita masih dalam proses peninjauan untuk melihat bangunan sedia ada yang perlu dibaiki memandangkan kita akan buat penempatan kem askar yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat seorang anggota tentera yang cedera akibat kemalangan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (QEH) II di sini kelmarin.

Mohamed Affand turut berkata, pihaknya mahu mengekalkan markas 5 Briged di Kem Lok Kawi.

Menurutnya, tujuan markas 5 Briged dikekalkan di Kem Lok Kawi kerana kem berkenaan adalah permulaan bagi 5 Briged dan ia menyimpan banyak sejarah.

Pada masa sama, beliau turut menganggap organisasi baharu seperti Task Force 450 lebih sesuai ditempatkan di kawasan baharu yang berbeza.

Sebelum mengadakan lawatan ke hospital berkenaan, beliau bersama Panglima Task Force 450 Mejar Jeneral Datuk Ranjit Singh Ramday dan Panglima 5 Briged Brigedier Jeneral Jalaluddin Manan membuat tinjauan di tapak penempatan kem askar di Kem Paradise, Kota Belud.

Selain itu, Mohamed Affandi turut memaklumkan anggotanya yang tercedera kini dalam keadaan stabil.

Katanya, Prebet Abdul Latif Md Yusuf, 21, yang berasal dari negeri Kedah mengalami kecederaan di kepala selepas terjatuh dari kenderaan jenis DMax ketika mengikuti Program Jiwa Murni anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anggota dari 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu dikatakan terjatuh ketika kenderaan terbabit menuruni selekoh di bukit Pos Bakapit di Lahad Datu kira-kira jam 5 petang Jumaat lepas.