Persatuan Borneo Johor anjur pra-Gawai di Pasir Gudang

0

KUCHING: Kemeriahan Hari Gawai Dayak sudah mula terasa dengan ahli Persatuan Borneo Johor mengadakan Majlis Pra-Gawai 2014 Peringkat Parlimen Pasir Gudang, baru-baru ini.

Lebih menarik, majlis tersebut turut dihadiri Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.

Pada majlis yang dianjurkan Persatuan Borneo Johor itu, Naroden meluluskan geran RM10,000 kepada persatuan terbabit untuk aktiviti sepanjang 2014.

Menurut Naroden, majlis seperti itu penting untuk mengeratkan silaturahim di kalangan masyarakat Dayak yang bermastautin di Johor.

“Biarpun bukan di negeri sendiri, setidak-tidaknya kita masih boleh merasai kemeriahan sambutan Hari Gawai Dayak.

“Inisiatif yang diambil Persatuan Borneo Johor ini memang baik untuk memastikan masyarakat Dayak bermastautin di Johor dikumpulkan pada satu majlis,” katanya.

Penganjuran majlis seperti itu, jelasnya, dapat meningkatkan sokongan ahli persatuan terhadap kerajaan Johor khususnya dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini.

“Saya menyeru agar semua ahli persatuan dapat bekerjasama dan terus mengekalkan perpaduan di kalangan mereka,” ujarnya.