Jangan jual tanah NCR kepada orang lain

0

Ia boleh beri keuntungan kepada pemilik sekiranya dibangunkan dengan cara yang betulOleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang menasihati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan agar tidak menjual tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik mereka kepada orang lain.

Katanya tanah NCR boleh memberi keuntungan kepada para pemilik sekiranya dibangunkan dengan cara yang betul.

“Rakyat boleh membangunkan tanah NCR milik mereka dengan tanaman komersil sama ada menerusi inisiatif sendiri atau menerusi projek usaha sama bersama kerajaan,” katanya pada Program Membantu Rakyat (MEMBARA) di Rumah Morris Tukok, Antik, Sri Aman kelmarin.

Program MEMBARA itu adalah Majlis Penyerahan Warta di bawah Seksyen 6 Kanun kepada 26 ketua kaum yang mewakili penduduk di kawasan terbabit.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan menasihati rakyat agar memberi kerjasama terhadap kerja penyukatan perimeter yang dilaksanakan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) ke atas tanah NCR mereka.

Menurutnya, kerja penyukatan perimeter itu membolehkan tanah-tanah NCR milik mereka diwartakan di bawah Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri dan seterusnya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.

“Saya berharap rakyat memberi kerjasama kepada JTS bagi tujuan itu dan jangan menjual tanah NCR apabila sudah mendapat geran nanti,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Penguasa JTS Bahagian Sri Aman Mohd Razali Arshad, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi dan Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Assim.

Pada majlis itu, Mong mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada JKKK Rumah Morris dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya.