SBEU akan terus lindungi kebajikan pekerja bank

0

LIMBANG: Sarawak Bank Employee’s Union (SBEU) akan terus melindungi kebajikan pekerja-pekerja bank di negeri ini daripada ditindas majikan selain berani menghadapi pelbagai isu semasa yang mencabar.

Pengerusi SBEU Cawangan Utara Mohd Khairul Ariffin Bolhadi berkata, masih ramai pekerja bank di negeri ini tidak tahu mengenai hak mereka dan undang-undang.

“SBEU merupakan satu badan yang berdiri teguh melindungi pekerja-pekerja bank di negeri ini sekali gus memberi pengetahuan dan maklumat dengan menganjurkan pelbagai kursus berkaitan hak mereka,” katanya pada Program Kebajikan dan Sosial di sini semalam.

Mohd Khairul berkata, antara isu panas dihadapi ialah membabitkan pemberhentian pekerja bank di sebuah bank bertaraf antarabangsa yang berpusat di Kuching, Sibu dan Miri tahun lalu.

“SBEU turut bertindak membantu para pekerja termasuk mengadakan rundingan dengan pihak bank berkenaan bagi mengelak pekerja bank terbabit diberhentikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, SBEU proaktif menganjurkan pelbagai program termasuk sosial, sukan dan kebajikan di peringkat akar umbi dengan memilih Limbang sebagai lokasi penganjuran program tersebut semalam.

“Kami memilih PDK di sini sebagai kumpulan sasaran untuk menjayakan aktiviti kebajikan dan sosial selain memberi kegembiraan kepada pelatih PDK agar tidak berasa terpinggir dan sentiasa bersama masyarakat dalam pelbagai aktiviti,” katanya.

Sebelum ini, aktiviti sedemikian telah diadakan dengan jayanya di Bintulu dan Miri.

Pada program itu, SBEU turut menyumbang RM500 kepada PDK Limbang.

Pihaknya juga merancang untuk mengadakan pertandingan badminton di Miri tahun ini.

SBEU mempunyai lebih 500 ahli berdaftar membabitkan kawasan utara dan lebih 50 ahli di Limbang dan Lawas.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk acara memotong kek, persembahan silap mata, sukaneka dan lain-lain.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa SBEU Cawangan Utara Joshua Besar dan Penyelia PDK Limbang Norlila Mahmud.