500 rumah setinggan sambung elektrik haram

0

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggangarkan 500 buah rumah di lima kawasan penempatan setinggan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dikenal pasti melakukan aktiviti penyambungan elektrik secara haram.

Antara kawasan setinggan berkenaan adalah di Kampung Sembulan Lama, Kg Gudon, Kg Darau dan Kolombong.

Pengurus Besar Kanan (Bahagian Pengurusan Aset) SESB Muhamad Nazri Pazil berkata, kebanyakan kegiatan terbabit adalah dengan cara menyambung wayar secara haram yang disangkut pada kabel-kabel tiang elektrik.

“Dianggarkan rumah yang terlibat dalam aktiviti penyambungan haram ini mencecah hampir 500 rumah membabitkan lima kawasan setinggan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kelmarin, SESB melakukan operasi di beberapa kawasan dikenal pasti berlakunya penyambungan elektrik secara haram di sekitar pusat bandar.

Dalam operasi terbabit, pihak SESB berjaya merampas kira-kira 50 hingga 100 kilogram wayar pelbagai jenis yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

“Mana-mana individu didapati melakukan kegiatan menggunakan elektrik secara haram atau menggangu meter SESB boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dengan denda tidak melebih RM100,000 atau penjara,” katanya.