APMM tahan empat bot nelayan tunda

0

Oleh Yusop Teppo //

Bot nelayan yang ditahan menunda hasil laut kurang 2 batu dari pesisir pantai.

Kerana menunda hasil laut kurang dua batu nautika dari pesisir pantai

SANDAKAN: Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat buah bot nelayan yang menunda hasil laut kurang 2 batu nautika dari pesisir pantai di kawasan perairan Labuk, pada Sabtu lepas (3 Mei).

Menurut Ketua Penguatkuasa DM17 Kapten Maritim A Razak Abd Rahman, bot peronda APMM menahan empat buah bot nelayan yang sedang menunda di kawasan yang tidak dibenarkan sebarang aktiviti perikanan.

Katanya, bot nelayan berkenaan ditahan semasa bot peronda APMM Sandakan sedang melakukan pemantauan di kawasan perairan itu di sekitar jam 2 petang.

“Seramai lapan tekong bersama awak-awak terdiri enam warganegara Indonesia, seorang Filipina dan seorang rakyat tempatan ditahan daripada empat bot nelayan terbabit,” katanya.

Menurut Razak, menunda kurang dari 2 batu nautika dari pesisir pantai boleh disabit bersalah mengikut Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kesemua bot serta tekong dan awak-awak yang ditahan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.