MEKS akan jadi rujukan

0

Oleh Noorasvilla Muhamma //

JANATHAN (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Samsudin selepas Majlis Pelancaran Buku MEKS.

Untuk meningkat dan memperkasa ekonomi negeri ini

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, Model Ekonomi Kastam Sabah (MEKS) akan menjadi rujukan dan panduan dalam usaha meningkatkan dan memperkasa ekonomi di negeri ini.

MEKS yang dibukukan adalah inisiatif Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dalam menjana ekonomi negeri berteraskan fasilitasi perkastaman. Model itu memberi kesaksamaan kepada rakyat untuk meningkatkan sumber ekonomi berasaskan perniagaan import dan eksport.

Menurutnya, ia sekali gus meletakkan Sabah dalam kedudukan yang strategik dan berdaya saing dalam ekonomi serantau BIMP-EAGA dan pastinya inisiatif MEKS akan merangsang pertumbuhan beberapa kegiatan ekonomi selari dengan halatuju negeri untuk memacu pertumbuhan sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang berimpak tinggi.

“Saya percaya program berteraskan fasilitasi kastam ini bukan sahaja memberi kesaksamaan kepada rakyat bagi meningkatkan taraf hidup, malah berupaya menjadikan Sabah sebagai wilayah yang berdaya saing dalam ekonomi serantau BIMP-EAGA.

“Ini kerana MEKS melibatkan pengwujudan zon perdagangan bebas, pelabuhan darat, pelabuhan baru Kota Marudu dan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Di samping itu, saya juga yakin MEKS akan membantu kerajaan negeri dalam merangsang pertumbuhan ekonomi selain memainkan peranan yang signifikan menjana kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Model Ekonomi Kastam Sabah di Wisma Kastam di sini pada Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Hamzah Sundang dan Ketua Kastam Sandakan yang juga pengerusi penganjur majlis Abdullah Haji Jaapar.

Musa berkata, bagi memastikan keperluan rakyat dan negeri dapat dipenuhi, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pembangunan yang menyeluruh dan bersepadu.

Sehubungan itu, beliau menghargai kerjasama, sokongan dan komitmen kerajaan persekutuan melalui jabatan dan agensinya termasuk JKDM yang turut menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negeri.

Sementara itu, Pengarah Kastam Negeri Sabah Dato Dr Haji Janathan Kandok berkata, MEKS yang dilancarkan mempunyai lima matlamat iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negeri berorientasikan eksport, dan memudahcarakan kewujudan pekan-pekan baharu di pedalaman Sabah yang berorientasikan perniagaan import dan eksport.

“Ia juga memberikan peluang kepada rakyat utara dan pedalaman Sabah menikmati keuntungan perniagaan import dan eksport di tempat sendiri, merangsang peniaga utara dan pedalaman Sabah menetapkan barangan import dengan harga yang rendah, serta menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan pertanian di Utara Sabah,” katanya.

Selain itu katanya, model berkenaan mengandungi lima komponen iaitu zon perdagangan bebas, zon perindustrian bebas, CIQ, pelabuhan darat, pos kawalan keselamatan dan pelabuhan Kota Marudu.

“Berdasarkan ciri-ciri MEKS, saya percaya ia adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri Sabah yang mengutamakan pembangunan sektor pelancongan, pertanian dan pembuatan,” katanya.