Senapang angin, peluru dirampas

0

Oleh Jeremy Lanson //

SENAPANG ANGIN: Sabri menunjukkan dua laras senapang angin tersebut yang dirampas pada sidang media semalam. Turut kelihatan Chan (empat kanan) dan Benedict (dua kanan).

Polis tahan dua lelaki tempatan yang mendakwa ingin memburu tupai

BAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas didapati memiliki dua laras senapang angin dan 94 butiran logam dipercayai peluru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 7.20 malam apabila anggota polis berjaya menahan sebuah van yang dinaiki kedua-dua suspek terbabit berdekatan Gunung Tabai, di sini.

“Ketika memeriksa van berkenaan, polis menjumpai dua laras senapang angin selain satu botol yang mengandungi 94 butir logam lalu menahan kedua-dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Suspek berusia 26 dan 27 tahun dari Krokong itu kemudian mengakui mereka membeli senjata tersebut daripada seorang rakan berbangsa Indonesia di pekan Serikin dengan harga RM250 bagi selaras senapang, dan mendakwa mereka mahu menggunakannya untuk memburu tupai.

Sabri seterusnya memberitahu, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Sabri turut memaklumkan penangkapan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit kegiatan dadah semasa melakukan dua pemeriksaan berasingan pada awal minggu ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pertama dijalankan Ahad lepas ketika polis menahan dua penganggur dari Kampung Sibuluh ketika mereka sedang menunggang motosikal di Jalan Opar.

“Pemeriksaan seterusnya ke atas pasangan tersebut menjumpai dua bungkusan lutsinar dan empat tiub straw yang mengandungi bahan berupa kristal, dipercayai syabu, seberat 1.5 gram.

“Pasangan itu kemudian didapati positif syabu dan telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Sabri menambah tangkapan kedua dibuat sekitar jam 11.15 malam pada keesokan hari apabila polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dari Kampung Melayu di sini selepas dia didapati memiliki dadah.

Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membawa bungkusan lutsinar keecil dan satu tiub straw yang mengandungi kira-kira 0.35 gram bahan berupa kristal, juga dipercayai syabu.

Dia juga didapati positif bagi dadah tersebut dan ditahan reman selama empat hari di bawah Akta yang sama untuk siasatan lanjut.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Ketua Polis Daerah ASP Chan Shun Sing dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah ASP Benedict Jimoi.