180 penceramah dilantik beri penerangan GST di peringkat kampung

0

KOTA KINABALU: Dalam usaha memberi penerangan lanjut mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2015, seramai 180 penceramah khas dilantik untuk memberi penerangan di peringkat kampung di negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, susulan kelulusan Rang Undang-Undang GST 2014 di Dewan Negara pada 5 Mei lalu, pelantikan 180 penceramah khas di Sabah ini dilihat perlu untuk memberi penerangan mengenai GST kepada masyarakat di peringkat kampung.

Katanya, penceramah-penceramah yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemimpin masyarakat itu kini sedang menjalani kursus tiga hari di Kundasang untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai GST sebelum mereka ditempatkan di setiap parlimen.

Beliau berkata, empat penceramah akan ditempatkan di setiap parlimen bagi memberi penerangan mengenai kesan pelaksanaan GST.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sabah di Rumah Persekutuan, di sini kelmarin.

Menurutnya, sebelum pelaksanaan GST yang hanya tinggal kira-kira 10 bulan 25 hari, tempoh lima bulan akan diambil bagi menjalankan proses penerangan di semua peringkat masyarakat.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, selain itu, kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan turut memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat berkenaan GST kepada rakyat.

Mengulas mengenai taktik pembangkang yang memberi pandangan negatif mengenai pelaksanaan GST, beliau berkata pembangkang hanya menyatakan GST akan membebankan rakyat tetapi mereka tidak menjelaskan bahawa GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berjumlah 16 peratus, yang mana lebih tinggi daripada GST yang hanya enam peratus.

Ketika ditanya megenai pelaksanaan GST akan diaplikasi kepada semua lapisan masyarakat berbanding SST yang hanya diaplikasi di hotel dan restoran besar, Ahmad berkata sebenarnya dalam SST sendiri semua orang membayar cukai.

Katanya, pelaksanaan SST adalah berasaskan cukai atas cukai manakala melalui GST, hanya cukai output sahaja dikenakan ke atas pengguna.

Mengambil contoh kebaikan pelaksanaan GST dalam menangani masalah ekonomi terselindung di atas kegagalan orang membayar cukai, beliau berkata di negara membangun, ekonomi terselindung berjumlah 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi negara maju pula, ekonomi terselindung menyumbang kepada 10 hingga 15 peratus kepada KDNK. Oleh itu, untuk mengatasi permasalahan berkenaan, cara yang sesuai atasi masalah orang lari dari membayar cukai adalah dengan pelaksanaan GST.

Ahmad berkata, GST akan dikuatkuasakan ke atas 689 barangan. Daripada jumlah itu, 73 barangan dijangka mengalami kenaikan harga, sebanyak 287 jenis barangan akan mengalami penurunan harga manakala 329 barangan tidak berubah.

Sementara kesan ke atas baki 255 barangan lagi belum dibuat keputusan dan sedang dinilai.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaan GST mula dibangkitkan sejak 30 tahun lalu itu akhirnya bakal dilaksanakan dan tiada lagi bantahan akan diterima bagi pelaksanaan GST.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai GST melalui laman web www.gst.customs.gov.my atau www.treasury.gov.my

Ahmad sebelum ini dipetik berkata, GST perlu dilaksanakan kerana kerajaan mendapati sistem kutipan cukai sedia ada tidak efektif, khususnya dalam membangunkan ekonomi negara.

“Kita mengakui sistem percukaian sedia ada agak lemah dan kerajaan memerlukan satu sistem cukai baru yang lebih cekap untuk negara ini…dan itulah sebabnya kita memperkenalkan GST.

“Adakah pembangkang dalam membantah pelaksanaan GST ini ingin terus menggunakan sistem yang lemah sedangkan kita mempunyai sistem yang lebih cekap serta telus, yang mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada cukai petroleum?” soal beliau.

Ahmad menegaskan walaupun pengenalan GST dikatakan akan mengakibatkan kenaikan Indeks Harga Pengguna sebanyak 1.8 peratus, orang ramai tidak perlu bimmbang kerana ia hanyalah kesan sementara yang akan berlaku sebelum membiasakan proses dengan sistem percukaian baru.

Katanya, perbezaan antara GST dengan SST ialah GST merupakan cukai yang dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah pada setiap peringkat rangkaian pengeluaran dan pengedaran barang serta perkhidmatan, manakala SST adalah sistem cukai satu peringkat.