Kes culik warga Jerman bukan berlaku di Sabah

0

KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan kes kehilangan membabitkan dua warga Jerman yang dipercayai diculik oleh sekumpulan bersenjata Abu Sayaf berlaku di perairan negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, penculikan berkenaan tidak berlaku di perairan Malaysia sepertimana didakwa segelintir pihak sebaliknya terjadi di kawasan perairan Palawan, Filipina.

“Ia tidak ada kena mengena dengan Sabah,” katanya kepada pemberita sebaik menghadiri perjumpaan dan perbincangan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Sri Gaya, di sini kelmarin.

Memetik laporan Manila Times di Filipina, dua mangsa terbabit dikenali sebagai Dr Stefan Viktor Okonek, 72, dan Henrite Dielen, 42, dikhabarkan sedang belayar di kawasan Mindanao sebelum didapati hilang daripada kapal dinaiki mereka di perairan Palawan, berhampiran Kudat pada 25 April lalu.

Kedua-dua mangsa difahamkan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata Abu Sayaf menuju ke Jolo, Filipina.