Raja coklat Asia menjelang 2020

0

KOTA KINABALU: Seiring dengan pencapaian sebagai peneraju pembangunan inovasi dan produk berasaskan coklat, Malaysia sasar menjadi raja coklat di Asia.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Dr Lee Choon Vui berkata, Malaysia kini lebih banyak mengeksport produk berbanding bahan mentah.

Usaha itu katanya, turut membantu negara ini sebagai pengeksport utama produk coklat di rantau negara Asean.

“Sasaran menjadi raja coklat ini diharap dapat dicapai menjelang 2020 walaupun sekarang ini terdapat beberapa cabaran, namun kita harap ia dapat diatasi dengan adanya bantuan insentif dari kerajaan.

“Di Malaysia, terdapat empat kawasan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perisa coklat oleh Juri Pertandingan Perisa Paris.

“Ia termasuklah coklat pedas yang hanya dapat dihasilkan menggunakan biji koko yang ditanam di Serian Sarawak serta coklat lain dari Raub, Bukit Kerayong dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian ‘The 17th Meeting of The National Focal Points for Asean Cocoa Club (ACC) on Asean Cooperation and Joint Approaches in Agricultural and Forest Products Promotion Scheme’ di sini Rabu lepas.

Lee berkata, terdapat beberapa kawasan lagi yang akan dibangunkan sebagai tapak penanaman koko pada masa akan datang sebagai usaha untuk mencapai matlamat yang disasarkan.

Justeru, melalui perbincangan yang dibuat bersama delegasi ACC, pihaknya dapat berkongsi maklumat dan pengetahuan untuk pembangunan industri koko.

“Kita berkongsi teknologi dengan rakan sejawat dari negara Indonesia yang mana dari aspek kualiti ia semakin hampir.

“Namun sudah tentu Malaysia masih mempunyai kualiti produk coklat terbaik dan kita mampu mengekalkan 30 peratus keasliannya dalam Asean,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan untuk memiliki 2,000 hektar tanah yang ditanam koko secara tahunan bermula 2012.

Pada masa sama jelasnya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM16 juta setiap tahun untuk usaha berkenaan dan pihaknya memilih untuk membantu para petani di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, pihaknya mempromosikan kepada para petani di pedalaman yang mereka tidak perlu saiz tanah yang luas untuk mengusahakan kebun koko.

Lee berkata, 20 tahun lalu ramai yang tidak menjangka Ranau mampu menjadi kawasan penanaman koko yang berpotensi besar.

Bagaimananpun katanya, kini kawasan penanaman koko di Ranau mampu menghasilkan 300 hingga 400 tan biji koko setiap tahun dan ia semakin meningkat maju.

“Di Ranau, kita ada Koperasi Pekebun Kecil Koko Ranau seperti di Selangor dan Kelantan. Pada masa ini, Sabah bukanlah negeri pengeluar koko terbanyak.

“Namun, ia mampu mengembalikan status itu. Sarawak adalah negeri yang mempunyai kawasan penanaman koko terbesar di Malaysia diikuti Sabah dan Raub, Pahang,” katanya.