Tiada kompromi jika ada ‘dalang’ kes penculikan di Pulau Baik: Zahid

0

KOTA KINABALU: Kerajaan tidak akan berkompromi jika ada individu tertentu yang menjadi dalang di sebalik insiden penculikan di Pulau Baik, Lahad Datu Selasa lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa Malaysia dan negara Filipina terus bekerja rapat untuk memperkukuhkan program risikan di kedua-dua negara.

Menurutnya, kerajaan turut bekerjasama dengan agensi risikan antarabangsa untuk melihat kemungkinan lain yang berkaitan.

“Justeru, kita memperkukuhkan segala kemungkinan dengan membuat program pertukaran profesion risikan antara Malaysia dan Filipina.

“Cawangan Khas negara ini turut bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Manila bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan termasuklah individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di sini kelmarin.

Zahid berkata, siasatan merangkumi segala aspek akan dijalankan jika terdapat sebarang elemen pencerobohan atau penglibatan individu tertentu dalam insiden terbabit.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) Nur Misuari dianggap mempunyai kaitan dengan insiden penculikan berkenaan.

Dalam pada itu Zahid berkata, tiga perundangan akan digunakan dalam pelaksanaan elemen keselamatan negara.
“Pertama kita guna Akta Polis kemudian Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam dan juga Ordinan Keselamatan Awam.
“Kita akan bahagikan kuasa kepada kepada polis terlebih dahulu, Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negteri.

“Selain itu, penyelarasan pelaksanaan kuasa ini adalah bagi kawasan-kawasan yang menjadi tanggungjawab Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) serta sekitar pantai timur Sabah dibawah Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone),” katanya.

Zahid berkata, kedatangannya ke Sabah bersama Shahidan bagi membantu memperkuatkan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Usaha yang dibuat itu jelasnya, adalah untuk menentukan tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari tindakan yang dilakukan oleh kerjaaan negeri dan Esscom.

“Tindakan segera juga akan diambil terhadap keputusan kerajaan negeri supaya semua bot dan kapal di Sabah sama ada besar atau kecil perlu didaftarkan.

“Ia bagi membezakan bot atau kapal yang didaftarkan oleh pihak penceroboh,” katanya sambil menambah, warga tempatan khususnya mereka yang tiggal di kawasan pantai tidak menganggap tindakan itu sebagai perkara yang menyusahkan.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga adalah untuk menjamin keselamatan semua pihak terutamanya penduduk dan pelancong.