Polis belum temui kanak-kanak tiga tahun di Kota Kinabalu

0

KOTA KINABALU: Polis masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilarikan bersama kenderaan Hilux-Vigo yang ditinggalkan bapanya di sebuah stesen minyak di Kampung Air, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata gerakan mencari mangsa, Low Min You, masih giat dilakukan termasuk mempertingkatkan pencarian di seluruh negeri termasuk mengadakan sekatan jalan di beberapa laluan di pusat bandar bagi mengesan mangsa.

“Polis belum mempunyai perkembangan berhubung kes itu. Tiada sebarang penemuan jejak dan lokasi terakhir mangsa setakat petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata polis juga mengambil keterangan beberapa anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan kes.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 088-529270, 088-529207 atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-3572935.

Dalam kejadian berlaku pada kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berpakaian baju-T putih dan berseluar pendek difahamkan sedang lena tidur di dalam kenderaan pacuan empat roda itu sebelum polis menemui kenderaan berkenaan di Menara Jam, Bukit Bendera pada kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengurung dengan sulit atau dengan salah yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. — Bernama