Buruh ladang mati ditikam rakan

0

Oleh Yusop Teppo //

KINABATANGAN: Seorang buruh ladang kelapa sawit mati akibat ditikam oleh seorang rakan sekerjanya akibat perselisihan faham di rumah pekerja Ladang Tyang Paris 3, petang Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Superintenden A Sahak Rahmat berkata, mangsa yang berumur 33 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kanan, dada serta kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam hari yang sama.

“Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang, mangsa telah pergi ke rumah suspek yang dikenali sebagai Acging Maing, 34, bagi bertanyakan mengapa suspek menyuruh isteri si mati meninggalkannya (mangsa),” katanya.

Beliau berkata, dalam pertengkaran di hadapan rumah suspek itu mangsa kemudian ditikam sebelum suspek melarikan diri.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan oleh pekerja ladang ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Sahak memberitahu, punca kejadian akibat dari pertengkaran berhubung isteri mangsa yang disuruh oleh suspek untuk meninggalkan mangsa. Suspek dan isteri mangsa adalah kawan.

“Kita masih lagi mengesan suspek dan kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek supaya berhubung terus dengan ASP Amir Atong @Atu di talian 089-561890/891 atau balai polis yang berhampiran.