Kupon parkir tidak sistematik, membebankan

0

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

Dahulu kupon parkir boleh dibeli secara keping, kini pengguna terpaksa beli satu buku kupon

MIRI: Orang awam kecewa berikutan kupon parkir yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) di bawah pengurusan baharu tidak sistematik dan terlalu membebankan.

Seorang pengguna yang hanya dikenali Sandra Vincent memberitahu, dahulu kupon parkir boleh dibeli secara keping berbanding kini pengguna terpaksa membeli satu buku kupon.

“Bagi pelawat yang datang sekejap sahaja, mereka terpaksa membeli buku kupon parkir untuk kegunaan sementara dan ia dianggap membebankan dan membazir,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau memberitahu, bagi pelawat yang hanya datang sekejap dan parking di kawasan letak kereta MBM, mereka terpaksa ‘mengeluarkan’ perbelanjaan lebih untuk membeli buku kupon.

“Jika dahulu, kupon parkir ini boleh dijual secara keping mengikut kehendak pelanggan, namun sistem sekarang terlalu membebankan di mana orang awam terpaksa membeli sebuku kupon,” ujarnya.

Sandra menjelaskan, sistem berkenaan sepatutnya dikaji semula kerana pelaksanaannya menimbulkan ketidakpuasan hati orang awam khasnya orang luar Miri.

“Pelawat yang hanya parking untuk tempoh satu hingga dua jam terpaksa membeli buku kupon padahal penggunaannya hanya sekali dan pelawat terpaksa membawa pulang ‘buah tangan’ ini,” jelasnya.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati kupon parkir berkenaan sememangnya dijual mengikut buku sebaliknya hanya kupon parkir harian (RM5.30) sahaja dijual secara keping.

Seorang lagi orang awam kesal dengan tindakan warden parkir yang mengeluarkan kompaun hanya dengan kesalahan kecil tidak menggores sepenuhnya kupon parkir.

“Kalau pemilik kenderaan terlupa menggores salah satu tanda bulatan terbabit, maka pihak warden parkir akan terus mengeluarkan kompaun tanpa kompromi,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Menurut pengadu, kekurangan tempat parkir di kawasan bank juga menyebabkan ada di kalangan orang awam parkir di kawasan larangan.

“Memang kami sedar ia satu kesalahan akan tetapi kekurangan tempat parkir di kawasan bank menyebabkan orang awam bertindak sedemikian.

Pihak MBM melalui warden parkir harus berkompromi dan bukannya menyaman kenderaan semata-mata untuk mencukupkan kuota saman harian mereka,” ujarnya.