Polis selesaikan 40 kes pecah rumah, samun dan menyamar penjawat awam

0

Oleh Yusop Teppo //

Rowell menunjukkan gambar salah seorang suspek yang menyamar polis kepada media.

SANDAKAN: Polis percaya berjaya menyelesaikan 40 kes pecah rumah, samun dan menyamar sebagai anggota penjawat awam selepas tertangkapannya enam lelaki termasuk tiga bekas banduan di sekitar daerah ini sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, kesemua suspek yang ditahan secara berasingan itu berumur 20 hingga 40-an.

“Empat dari mereka terlibat dengan 33 kes pecah rumah, seorang lagi iaitu bekas banduan terlibat dengan tiga kes samun dan seorang lelaki tempatan terlibat dengan empat kes menyamar sebagai anggota penjawat awam iaitu sebagai seorang polis serta Jabatan Imigresen,” katanya.

Beliau percaya pihaknya berjaya selesaikan 70 peratus laporan kes pecah rumah di sekitar daerah sejak Januari lepas dengan tertangkapnya keempat-empat suspek berkenaan.

Katanya, selepas empat lelaki itu ditahan termasuk dua dari mereka adalah bekas banduan, kejadian pecah rumah di taman perumahan setakat ini tiada sebarang laporan.

Rowell memuji kesungguhan dan kecekapan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah DSP Sabarudin Rahmat dalam menyelesaikan kes terbabit.

Beliau berkata, empat suspek pecah rumah itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Manakala, seorang lagi yang terlibat dengan kes menyamar sebagai anggota polis dan imigresen akan disiasat mengikut Sekyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis juga mendapati suspek yang menyamar penjawat awam terbabit ada terlibat dengan beberapa kes samun dan curi di daerah Lahad Datu.

Rowell memberitahu, hasil pemeriksaan air kencing terhadap semua suspek turut mendapati mereka positif dadah.

Katanya, polis telah merampas sebuah televisyen jenis Sony, enam telefon bimbit, dua pendrive, dua modem, tiga jam tangan, satu dompet, dua kad memori, tiga komputer riba, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah motosikal, empat kad SIM, dua pasport, dua buah beg sandang, dua buah buku hutang dan satu kad gadaian emas.