Reverend Doyle Owen Laccase deacon baharu Gereja Anglikan Saint John

0

SIBU: Gereja Anglikan Saint John kini mempunyai seorang deacon baharu iaitu Deacon Reverend Doyle Owen Laccase.

Majlis mengalu-alukan kedatangan beliau telah diadakan di perkarangan gereja tersebut di sini, petang kelmarin.

Hampir 100 orang ahli gereja serta keluarga mereka telah berkumpul bersama-sama bagi mengucap selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Reverend Doyle.

Majlis tersebut dianjurkan dan ditaja oleh Men Fellowship Gereja Saint John yang dipengerusikan oleh Ujang Anyi dan ia diserikan dengan program barbeku, jamuan makan dan hiburan.

Pada majlis itu, Ujang yang merupakan penganjur majlis tersebut merangkap setiausaha Parish Church Council (PCC) Sibu turut menyampaikan hadiah kepada Women Fellowship Persatuan Gereja Sarawak (ACS) bagi tujuan menganjurkan Hari Ibu.

Sementara itu, Women Fellowship Gereja Anglikan Saint John Sibu yang diketuai Pauline Lamus turut menyampaikan cenderamata kepada Reverend Doyle sebagai tanda mengalu-alukan kedatangannya ke Gereja Saint John.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Vicar Gereja Anglikan Saint John Reverend Canon Jamal Senada dan Sub Deacon Obed George Gomes.

Reverend Doyle merupakan anak kacukan Finland dan Malaysia dan dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Iban.

Ayahnya Aarne Olavi Laccase berasal dari Finland manakala ibunya Boon Moi berbangsa Cina/Hakka dari Sri Aman.

Dilahirkan pada 1985 di Sri Aman, beliau mendapat pendidikan awal di SRB Chung Hua, Sri Aman manakala peringkat sekolah menengah di SMK Saint Luke dan SMK Simanggang juga di Sri Aman.

Kemudian, beliau melanjutkan pendidikan di Kolej Inti Sarawak pada 2003 hingga 2005 mengambil jurusan Diploma in Mechanical Engineering.

Selepas itu, beliau bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi sebagai eksekutif jualan dan juruteknik.

Pada 2009, beliau diserapkan ke House of the Epiphany Kuching sebelum melanjutkan pendidikan ke Seminari Theologi Malaysia, Seremban (2010-2013).

Beliau menamatkan pendidikannya pada Oktober tahun lepas dan terus berkhidmat di Gereja Saint John, Sibu pada November tahun lalu.

Beliau ditabalkan menjadi deacon oleh The Most Reverend Archbishop (The Province of South East Asia) Datuk Bolly Lapok pada 27 April lalu di Gereja Saint Thomas, Kuching.