The Citizens sah bergelar juara

0

City menewaskan West Ham United 2-0 untuk kejuaraan kedua sejak tiga musim lalu

LONDON, England: Manchester City mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kedua dari tiga musim selepas menewaskan West Ham United 2-0 di Stadium Etihad Ahad lalu.

City hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan, di hadapan Liverpool tetapi gol dalam kedua-dua babak oleh Samir Nasri dan kapten pasukan, Vincent Kompany bermakna mereka melengkapkan misi tanpa sebarang masalah.

Keputusan itu membolehkan City menjaringkan 102 gol – kurang satu gol dari rekod yang dicipta Chelsea pada musim 2009/2010 – dan menjadikan pengurusnya, Manuel Pellegrini sebagai pengurus bukan Eropah yang pertama memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Saya fikir saya menguruskan sekumpulan pemain, institusi dan penyokong yang hebat,” kata Pellegrini.

“Saya harus bertenang semasa perlawanan untuk membuat keputusan tetapi apabila anda sudah memenangi kejuaraan, saya fikir keseluruhan tahun menunjukkan banyak kerja-keras yang kami lakukan pada masa sukar tahun ini dan saya fikir ini adalah pasukan yang terbaik dalam liga.”

Liverpool, yang mendahului kedudukan liga ketika berbaki tiga perlawanan, menamatkan saingan dengan kurang dua mata di belakang City selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Newcastle United 2-1.

Pasukan pelawat menamatkan permainan dengan sembilan pemain selepas Shola Ameobi dan Paul Dummett dibuang padang.

David Silva, Sergio Aguero dan Aleksandar Kolarov mempunyai peluang awal untuk City sebelum Nasri membuka jaringan pada minit ke-39 selepas menerima umpanan cantik dari Yaya Toure.

Penyerang West Ham, Andy Carroll, melihat rembatannya terkena palang pada minit akhir separuh masa pertama sebelum Kompany melengkapkan jaringan pada awal separuh masa kedua dari satu tendangan sudut.

Penyokong tuan rumah mula meraikan kejuaraan dengan tarian ‘Poznan’ dan kemudian membanjiri padang pada wisel penamat untuk sama-sama meraikan kejuaraan bersama pemain.

“Lupakan tentang wang dan segala-galanya,” kata Kompany ketika memberitahu Sky Sports selepas menjulang trofi.

“Ketika kecil, anda membesar dan mengimpikan untuk menjulang trofi. Saya merasakan saya sudah mencapai impian saya apabila menjulang trofi ini.”

Liverpool, yang memulakan perlawanan dengan peluang tipis untuk memenangi kejuaraan liga yang pertama sejak 1990, ketinggalan pada minit ke-20 apabila Martin Skrtel tertolak hantaran lintang Yoan Gouffran ke pintu golnya sendiri.

Bagaimanapun, gol oleh Daniel Agger dan Daniel Sturridge, kedua-duanya dari tendangan percuma Steven Gerrard, memastikan kebangkitan Liverpool dalam tempoh dua minit pada separuh masa kedua.

Gol Agger adalah yang ke- 100 buat Liverpool dalam liga dan ia memastikan buat kali pertamanya ada dua kelab yang melepasi angka 100 gol dalam satu musim liga sejak musim 1960/1961.

“Ia merupakan satu perjalanan yang hebat tahun ini, untuk menamatkan saingan dengan 12 kemenangan dari 14 perlawanan terakhir adalah satu pencapaian hebat dari pemain,” kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.

“Kami mengembalikan impian penyokong dan ia adalah tugas kami untuk melakukannya.”

Tottenham Hotspur pula mengesahkan slot terakhir ke Liga Europa apabila membelasah Aston Villa 3-0 menerusi gol Paulinho, gol sendiri Nathan Baker dan tendangan penalti Emmanuel Adebayor, kesemuanya hadir sebelum rehat.

Kemenangan Spurs bermakna Manchester United tidak akan bermain di Eropah buat kali pertama sejak 1989/1990.

United seri 1-1 di Southampton pada perlawanan terakhir Ryan Giggs sebagai pengurus sementara, yang juga menyaksikan bekas juara itu menamatkan saingan ketinggalan 22 mata di belakang kelab jirannya, City, di tangga ketujuh.

Kapten United, Nemanja Vidic, bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab, mengalami kecederaan di hidung akibat dikasari Ricky Lambert ketika membuka jaringan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-28.

Juan Mata bagaimanapun mengikat kedudukan buat United dari satu tendangan percuma pada awal separuh masa kedua.

“Ia merupakan satu pengalaman turun naik,” kata Giggs.

“Saya menikmatinya dan saya tidak mahu separuh masa kedua berakhir sebenarnya. Penyokong begitu hebat dan begitu juga dengan pemain, saya benar-benar menyukainya.”

Norwich City menjadi pasukan terakhir yang tersingkir dari Liga Perdana selepas tewas 0-2 kepada Arsenal, walaupun nasib mereka sudah ditentukan lebih awal untuk menyertai Fulham dan Cardiff City ke Liga Championship musim hadapan. — AFP