Sri Aman kembali bergema dengan Pesta Benak ke-12

0

Oleh Kelvin Lambai

 

ACARA REGATA: Lumba perahu merupakan salah satu acara yang menjadi tumpuan di Sungai Batang Lupar pada 16 Mei ini.

SRI Aman atau lebih dikenali sebagai Bandar Benak, Malaysia bergema sekali lagi dengan alunan benak dan menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara bagi menyaksikan Pesta Benak Sri Aman 2014 bagi edisi ke-12 yang akan diadakan pada 16 hingga18 Mei ini.

Seperti yang diketahui dan tercatat dalam Kalendar Pelancongan, Mukah terkenal dengan Pesta Kaul, Kapit pula terkenal dengan Safari Rakit dan begitu juga Sri Aman yang selain terkenal dengan legenda buaya Bujang Senang yang menjadi maskot kepada Pasukan Bola Sepak Negeri Sarawak, turut dikenali dengan Pesta Benak.

Kali ini, penulis ingin membawa pembaca menyelami serta membongkar serba sedikit kisah mitos fenomena kejadian ‘benak’ yang terdapat di Batang Lupar yang turut terkenal dengan legenda buaya Bujang Senang.

Seperti yang sering kita lihat di media-media cetak sebelum ini, fenomena benak yang berlaku di Batang Lupar adalah satu fenomena semula jadi yang unik kerana hanya berlaku di empat tempat di negeri Sarawak daripada 65 tempat di seluruh dunia.

Tetapi apa yang cukup menarik perhatian, fenomena benak yang terdapat di Batang Lupar adalah fenomena alam semula jadi yang cukup unik dan sungguh menakjubkan.

Untuk pengetahuan pembaca, tiga tempat lain di Sarawak yang mengalami fenomena benak selain Batang Lupar adalah Batang Sadong, Batang Samarahan dan Batang Saribas.

Apa yang paling menarik, fenomena benak di Batang Lupar adalah yang paling unik sehingga berjaya menarik perhatian Kementerian Pelancongan Sarawak untuk menjadikan Pesta Benak ini acara tahunan sejak tahun 2001.

Sebenarnya, fenomena benak berlaku pada musim air pasang besar apabila air dari muara Batang Lupar memasuki sungai yang cetek dan menghasilkan ombak besar menyusuri sungai hingga ke muara.

BAKAL BERAKSI: Sebahagian peluncur yang akan beraksi pada Pesta Benak Sri Aman 2014.

Ketinggian ombak bergantung kepada kecetekan sungai itu. Jika sungai itu cetek maka bertambah besar dan tinggi ombak yang dipanggil ‘benak’ yang akan mengalun ke hulu dan menyebabkan air sungai cepat pasang.

Aliran air yang deras dari muara ke hulu akan saling berlanggar dan membentuk gelombang yang lebih menarik dan unik. Ini merupakan kemunculan fenomena benak di Batang Lupar.

Bagi Batang Lupar, ketinggian dan besarnya benak terserlah apabila melintasi Tebingan Sungai Batang Lupar di Sri Aman.

Ombaknya yang besar serta tinggi alunannya tampak sungguh cantik dan menakjubkan terutama bagi mereka yang pertama kali menyaksikan fenomena ini.

SELAMAT DATANG: Pintu gerbang Pesta Benak Sri Aman 2013 akan kembali mengalu-alukan pengunjung pada 16 Mei ini.

Benak di Batang Lupar mampu mencapai ketinggian 5.7 meter sehingga 6.0 meter yang pernah direkodkan semasa penganjuran pesta ini pada tahun 2013. Manakala pada tahun ini, ia direkodkan 6.1 meter sehingga 6.2 meter yang berlaku dari 16 sehingga 18 Mei ini.

Adalah dijangkakan pada penganjuran Pesta Benak Sri Aman tahun ini, ketinggian paras benak Batang Lupar pada kali ini lebih tinggi sekiranya dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas.

Ketika fenomena benak ini berlaku, sering kali dilihat dari Tebingan Sungai Batang Lupar, kapal mahupun perahu kecil akan berkumpul di tengah-tengah sungai. Ini untuk mengelakkan kapal atau perahu dipukul benak yang mampu menenggelamkannya.

Seperti yang dilihat dalam penganjuran Pesta Benak sejak beberapa tahun lepas, ia mampu menarik ramai pengunjung sehingga 50,000 orang dan pada tahun ini, pihak penganjur menjangkakan sekitar 80,000 pengunjung datang untuk melihat sendiri keunikan fenomena alam semula jadi ini di Sungai Batang Lupar.

Selain penduduk tempatan, fenomena benak mampu menarik pelancong dari luar negara seperti Jerman, Korea, Australia dan beberapa negara lain.

JADI TUMPUAN: Tebingan Sungai Batang Lupar dipenuhi pengunjung ke Pesta Benak.

Justeru, pihak penganjur menjangkakan lebih ramai pengunjung dari luar negara akan bersama-sama penduduk tempatan datang menyaksikan keunikan benak ini nanti.

Ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang sama-sama mempromosikan fenomena benak di Sungai Batang Lupar ke serata dunia.

Tidak ketinggalan juga, pada tahun ini seramai dua belas orang peluncur tempatan dijangka akan menyertai peluncur dari luar negara dalam acara meluncur bersama benak.

Pesta Benak Sri Aman yang telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak sememangnya sudah diketahui ramai sehingga ke luar negara dan secara tidak langsung pesta ini mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk di bandar ini.

Bagi pengunjung dari luar Sri Aman yang ingin datang menyaksikan Pesta Benak yang bakal berlangsung, boleh membuat tempahan penginapan lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah atau kerumitan.

Dalam pada itu, pelbagai acara menarik akan disajikan kepada pengunjung ke Pesta Benak yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut iaitu Bazar Ria, Pertandingan Benak Idol, Regatta Batang Lupar, Malam Kebudayaan dan Kesenian Benak, Pertandingan Ratu Pelancongan Benak, dan banyak lagi.

Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2014 dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

JAGA KESELAMATAN: Bot pasukan keselamatan memantau keselamatan semasa berlangsungnya Pesta Benak Sri Aman.