Di manakah Marcela Peter?

0

Marcela

KUCHING: Sudah lima hari anak perempuan bongsunya tidak kembali ke rumah tanpa diketahui ke manakah perginya dan apakah punca dia menghilangkan diri.

Risau dan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan, Nyawos Jihem, ibu kepada Marcela Peter, 15, akhirnya meminta untuk diadakan hebahan media mengenai kehilangan anaknya itu.

Laporan polis telah dibuat pada Sabtu, 10 Mei lepas, hari yang sama di mana anaknya tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebang­saan (SMK) Matang Hilir di sini.

Bapanya, Peter Gatey yang ditemui di kediamannya di Taman Malihah pada Selasa lepas memberitahu, mereka sudah puas bertanya kepada rakan-rakan anaknya ke mana anaknya menghilang.

Namun, menurut Peter yang bertugas sebagai polis di Cawangan Komunikasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, tiada antara mereka yang melihat kelibat anaknya selepas tamat sesi kelas tam­bahan pada hari tersebut.

“Lebih kurang jam 6 pagi 10 Mei, saya dan isteri te­lah menghantar Marcela ke sekolah dan pada jam 11.15 pagi, kami berdua kembali ke sekolah untuk mengam­bilnya.

“Tetapi sehingga jam 1 petang dia tidak juga muncul-muncul dan kami terus ber­jumpa dengan guru kelas anak saya.

“Menurut guru kelasnya, anak saya memang berada di dalam kelas semasa sesi pembelajaran dan telah keluar apabila tamat waktu perse­kolahan,” katanya.

Sementara itu, kakaknya Grace memberitahu bahawa adiknya tidak menunjukkan sebarang perlakuan aneh se­belum kehilangan tersebut.

Malah, menurut Grace, dia juga tidak menemui sebarang nota atau perkara mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan kehilangan adiknya itu.

“Kami tidak tahu mengapa dia boleh hilang sedangkan selama ini dia tidak ada mem­buat perangai yang tidak baik atau melakukan benda-benda yang tidak baik.

“Puas juga saya menyemak barang-barang miliknya (ter­masuk) Facebook, Twitter dan sebagainya tetapi tiada se­barang maklumat yang boleh dikaitkan dengan kehilangan­nya,” kata Grace.

Bimbang mengenai kes­elamatan anaknya, ibu bapa Marcela memohon orang ramai agar menghubungi mereka jika melihat kelibat anaknya itu.

Apa jua sebab mengapa anak mereka hilang secara tiba-tiba, Nyawos dan sua­minya serta seluruh ahli ke­luarga berharap agar Marcela kembali ke pangkuan mereka dengan selamat.

Ahli keluarganya turut memohon belas kasihan orang ramai agar segera memak­lumkan mereka jika ada yang mengetahui di mana anaknya ketika ini.

Kali terakhir Marcela di­lihat, dia berpakaian baju-T putih berkolar kuning, ber­seluar ‘track suit’ hitam dan kasut sukan hitam.

Berkulit kuning langsat dengan ketinggian 5 kaki 2 inci, Marcela mempunyai tanda tahi lalat di bahagian pipi sebelah kiri.

Sebarang maklumat boleh menghubungi ahli keluar­ganya menerusi talian 082-640114 atau 013-8368594 atau hubungi terus Sarjan Rivender (014-2805100).