Persempadanan semula perlu wujud lebih banyak kerusi baharu

0

MIRI: Persempadanan semula perlu dilakukan untuk mewujudkan lebih banyak kerusi baharu berikutan perkembangan terbaharu arena politik Sarawak dengan penubuhan parti politik baharu seperti Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar, berkata sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukan persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Sarawak yang amat luas.

“Persempadanan semula ini penting kerana Sarawak sangat luas bahkan wakil rakyat tidak mampu menjaga kawasan mereka dalam satu-satu masa berikutan kekangan tugas lain,” katanya kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Beliau memberitahu, dengan persempadanan semula dan mewujudkan kerusi baharu nanti maka tiada lagi isu perebutan kerusi di kalangan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kawasan Parlimen dan DUN perlu dikecilkan supaya pembangunan mampu dirancang dengan lebih sistematik dan teratur terutama kawasan pinggir bandar dan pedalaman,” jelasnya.

Beliau berkata, ada kalangan wakil rakyat bukan sahaja memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen dan DUN, tetapi juga memegang jawatan lain.

“Kadangkala ada kalangan mereka ‘tiada masa’ untuk melawat kawasan justeru adalah wajar konstituensi yang luas itu diperkecilkan bagi memudahkan pengurusan yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu bahawa ahli-ahli parti komponen BN yang keluar parti atau ‘lompat parti’ bukan asing dalam arena politik Sarawak.

Menurutnya, perselisihan faham atau percanggahan idea dalam parti antara punca ahli-ahli parti bertindak keluar parti seterusnya menubuhkan parti baharu demi memantapkan BN dan kepentingan tertentu.

“Meskipun menyedari tindakan menubuhkan parti baharu bakal memberi kesan kepada parti-parti lama, namun disebabkan kepentingan tertentu dan mengukuhkan BN, maka ahli-ahli parti terpaksa melompat ke parti lain,” ujarnya.

Wan Zain menarik perhatian, meskipun banyak parti baharu ditubuh namun di peringkat akar umbi terpulang kepada rakyat untuk menentukan masa depan mereka.

“Rakyat masih berkuasa untuk menentukan wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan terpulanglah kepada perjuangan parti-parti yang menepati cita rasa mereka,” katanya.