Anugerah Tun amat tepat dengan sumbangan Taib

0

KUCHING: Penganugerahan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran Tun kepada Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud amat bertepatan dengan sumbangan beliau yang sukar ditandingi dalam membangunkan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bekas Ketua Menteri itu berhak dikurniakan penghargaan tertinggi negara dengan sumbangannya terhadap negara dan negeri ini sepanjang 50 tahun.

Taib menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara semalam.

“Anugerah ini memang bersesuaian dengan sumbangan dan pengorbanan Pehin Sri (Taib) yang diberikan kepada Malaysia dan Sarawak sejak tahun 60-an.

“Sebagai warganegara Malaysia yang tinggal di Sarawak, kita gembira dengan anugerah ini yang mana Pehin Sri memang layak menerimanya.

“Sumbangannya kepada Malaysia tidak dapat ditandingi. Beliau berkhidmat bersama semua Perdana Menteri dalam pelbagai kementerian sama ada peringkat negeri atau persekutuan,” katanya yang juga Menteri Muda Belia.

Veteran PBB Datuk Peter Minos yang sependapat dengan Karim berkata, Taib memang berhak menerima anugerah tersebut atas sumbangannya.

“Negeri ini maju atas ideanya termasuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal membawa lebih banyak limpahan kemajuan.

“Anda boleh kata Tun (Taib) telah menyediakan asas kukuh untuk kemajuan negeri ini. Sarawak dan Malaysia patut berterima kasih kepada Tun,” ujarnya.

Taib dilantik Yang di-Pertua Negeri ketujuh pada 1 Mac selepas melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari.

Beliau menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

Taib menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 selepas mengambil alih daripada bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub.