1,296 PTI ditahan dalam 17 Ops gasak sejak 24 Nov dis Esszone

0

Oleh Mohd Nazib Macpee

 

LAHAD DATU: Seramai 1,296 orang dipercayai pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam 17 Ops Gasak yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak 24 November tahun lepas di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pengarah Operasi ESSCOM DCP Datuk Abdul Rashid Harun berkata, mereka adalah sebahagian daripada 3,323 orang diperiksa dalam operasi bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan.

“ESSCOM akan memperhebatkan lagi Ops Gasak ini dalam usaha untuk membersihkan ESSZONE daripada pendatang tanpa izin.

“Ini juga menunjukkan kerajaan melalui ESSCOM serius dalam menangani masalah pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan, sekali gus menjamin keselamatan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Selain pulau peranginan dan perkampungan pesisir pantai, Abdul Rashid berkata Ops Gasak juga dilancarkan di beberapa pusat menternak ikan dalam sangkar susulan insiden penculikan di Pulau Baik, berhampiran pekan Lahad Datu pada 6 Mei lepas.

Dalam kes terbaharu itu, seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar diculik oleh lima lelaki bersenjata yang menaiki sebuah bot berkuasa kuda 200.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata seramai 62 PTI, termasuk 31 wanita ditahan dalam Ops Gasak 17 di Kampung Lok Bikin, Pulau Sakar, dekat sini kelmarin.

Katanya, operasi yang membabitkan PDRM, ATM dan APMM itu berlangsung selama hampir tiga jam bermula jam 3.30 petang.