Komited atasi kesesakan jalan raya

0

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terus komited dalam menangani isu-isu kesesakan jalan raya di bandaraya ini bagi memastikan keselesaan orang ramai.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pihaknya akan sentiasa melaksana pelbagai intipati yang bersesuaian dengan masyarakat berikutan kekerapan kesesakan lalu lintas ekoran kebanjiran kenderaan di bandaraya ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung masalah kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar.

“Bagaimanapun, polis turut meminta kerjasama orang ramai untuk terus mematuhi undang-undang sedia ada selain berhemah ketika berada di jalan raya dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah tugas Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Kota Kinabalu di antara Asisten Superintenden Sylvester Sigoh dan penyandang sebelum ini, Deputi Superintenden Peter Umbuas.

Peter akan menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Kapit Sarawak yang berkuatkuasa serta merta kelmarin selepas memegang jawatan KJKA di IPD Kota Kinabalu sejak tahun 2008.

“Saya dalam pada itu, merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada pucuk pimpinan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, IPD Kota Kinabalu dan semua pihak yang banyak membantu dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh enam tahun ini.

“Saya juga berharap IPD Kota Kinabalu terus berada di landasan tepat bagi mencapai peningkatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan,” katanya dalam ucapan beliau bersempena majlis berkenaan.

Turut menyaksikan upacara serah tugas itu adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan M Chandra.