30 bot pertingkat pengawasan, tugasan di Esszone

0

Kumpulan bot-bot mula berarak dalam barisan untuk memberi lintas hormat kepada tetamu kehormat dalam majlis itu.

LAHAD DATU: Sebanyak 30 buah Rigid Hull Fender Boat (RHFB) yang dibina khas untuk agensi-agensi keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan membolehkan pengawasan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) dilaksanakan dengan lebih terkoordinasi dan efektif.

Bot-bot yang menelan belanja RM50.76 juta itu mempunyai spesifikasi khusus yang memenuhi keperluan agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘end-user’ dibekalkan khas melalui satu jawatankuasa teknikal yang membincangkan spesifikasi bot itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, untuk memastikan keberkesanan pengendalian aset canggih ini, kru pengendali bot telah menjalani latihan sejak April 2014 dan kini bersedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa.

“MKN amat berharap agar agensi-agensi yang akan menerima dan menggunapakai bot-bot ini agar sentiasa menggunakannya dengan penuh tanggungjawab iaitu untuk membanteras dan mengekang sebarang aktiviti jenayah mahupun pencerobohan dengan cekap dan cemerlang.

“Penyerahan bot-bot ini harus diiringi dengan semangat keberanian dan daya juang yang tinggi di kalangan semua anggota yang bertugas demi menjamin kelangsungan keselamatan di negeri Sabah khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Thajudeen berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan 30 buah bot RHFB untuk agensi-agensi Esscom di Markas Operasi Pangkalan Polis Marin, di sini kelmarin.

Menurutnya, projek perolehan 30 buah RHFB dilaksanakan Majlis keselamatan Negara atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei 2013, menerusi satu lawatan beliau ke sini yang melihat keperluan mendesak bagi agensi-agensi keselamatan yang memerlukan bot-bot yang mempunyai spesifikasi khusus bagi membolehkan pengawasan dan tugasan mereka.

Beliau berkata, empat syarikat tempatan diberi kepercayaan untuk membekal bot-bot berkenaan meskipun MKN turut menerima cadangan daripada syarikat-syarikat tempatan yang bertindak sebagai agen kepada limbungan-limbungan luar negara.

Katanya, syarikat berkenaan ialah MSET Inflatable Composit Sdn Bhd yang dianugerah kontrak bernilai RM17.64 juta untuk membekalkan sembilan RHFB kepada Angkatan Tentera Malaysia; Kay Marine Sdn Bhd (sembilan RHFB bernilai RM17.58 juta untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia); Dalac Marine Engineering and Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.79 juta untuk Polis Marin; dan Destination Marine Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.75 juta untuk Polis Marin).

“Bot berkuasa tinggi itu kalis peluru dan memiliki spesifikasi canggih serta berupaya mencapai kelajuan tinggi sehingga 50 knots (92.6 km sejam). Selain itu, kesemua bot dilengkapi sistem kesedaran situasi iaitu gabungan sistem Pandangan Hadapan Infra Merah (FLIR) berkeupayaan tinggi dan radar yang membolehkan pengesanan dan pemintasan dilakukan terhadap sebarang bentuk pencerobohan di perairan,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek, Setiausaha Keselamatan Negeri Rodzi Md Saad, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Samsuddin Mat, Ahli Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansur, dan Adun Lahad Datu Mohd Yusof Apdal.

Dalam majlis itu juga berlangsung upacara lintas hormat RHFB di hadapan tetamu kehormat sebelum rombongan bertolak ke Markas Taktikal 21 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Tanduo untuk meninjau pos kawalan di kawasan itu.